January 19, 2025

Ajak Kerajaan Terengganu Tonton Pulau

PETALING JAYA: Belum pun ditayangkan filem Pulau terus disapa konyroversi dan terbaharu, kerajaan negeri Terengganu memulakan langkah mengharamkan tayangan filem kontroversi itu.

Lantaran, penerbitnya Fred Chong mengemukakan surat rayuan selain meminta ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu menonton filem berkenaan minggu depan.

Lebih dari itu, pihaknya sedia ke Kuala Terengganu, Isnin ini bagi berjumpa mereka yang berkenaan untuk menunjukkan naskhah genre seram itu tidak berunsur ‘soft porn’ seperti didakwa.

“Baru semalam kami dimaklumkan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) bahawa kerajaan negeri Terengganu mengharamkan tayangan filem Pulau membabitkan tiga pawagam di sana.

“Mungkin orang cuma nampak tiga panggung wayang, tetapi saya khuatir tindakan sama diikuti kerajaan negeri lain yang mungkin boleh melarat ke 30 atau 60 lokasi lain.

“Situasi sebegini tentu saja berbahaya memandangkan ada yang belum menonton keseluruhan filem, namun membuat kesimpulan hanya bersandarkan makluman pihak lain,” katanya.

Penerbit WebTVAsia itu berkataa, TGV menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman pada 9 Februari lalu dengan menjelaskan ia tidak boleh ditayangkan di tiga pawagam hasil Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurutnya, alasan diberikan pihak berkenaan adalah berikutan ia memuatkan babak keterlaluan.

Fred berkata surat berkaitan pengharaman tersebut diserahkan kepada pawagam TGV yang memiliki tiga pawagam utama di Terengganu.

Tambah penerbit berpengalaman yang banyak menerbitkan filem itu lagi, surat rayuan yang dikemukakan nanti bakal disertakan bersama surat sokongan daripada Finas.

Mengulas mengenai kontroversi yang tercetus sebelum ini, Fred mengakui pihaknya berdepan kerugian besar mencecah RM500,000 apabila ramai penaja menarik diri.

Bersama kos penerbitan mencecah RM4 juta, situasi itu membuatkan mereka bimbang terutama sejak isu mengenai filem itu masih diperdebatkan ramai.

“Tentu saja segala perkara diperdebatkan ini memberi kesan kepada syarikat kami dan rakan sekutu yang sudah mengeluarkan peruntukkan besar bagi menerbitkan filem ini.

“Sebelum ini untuk setiap pemasaran filem baharu kami membuat pelaburan agak besar tetapi kali ini penaja sudah menarik balik tajaan mereka berjumlah setengah juta.

“Nampaknya hasrat membawa Pulau ke arena lebih luas terpaksa dibatalkan, malah nak bayar stesen radio supaya memainkan lagu OST (runut bunyi) filem ini juga tak dapat direalisasikan,” katanya lagi.

Menerusi sidang media sama, Fred turut meminta warga maya berhenti daripada membuat gesaan supaya mengharamkan sahaja filem berkenaan. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts