Seloka Lebaran Meriah- Gandingan Rusa Music, MVM & FUKiKA Music

GIT MEDIA: Sambutan Aidilfitri tahun ini diserikan dengan pelancaran pelbagai lagu raya baharu menerusi inisiatif bersama beberapa label muzik tempatan dalam sebuah acara istimewa bertemakan Seloka Lebaran 2026.

Majlis Rumah Terbuka yang dianjurkan oleh RUSA Music, MVM Music dan FUKiKA Music itu bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada rakan media dan penggiat industri, malah turut mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan artis serta pemain industri muzik tanah air.

Dalam suasana penuh kemeriahan Syawal, ketiga-tiga label berkenaan mempersembahkan deretan lagu raya dengan sentuhan moden dan kontemporari, merangkumi pelbagai genre serta kolaborasi menarik antara artis solo dan berkumpulan.

Antara lagu yang mencuri perhatian termasuk “Yeye Raya” nyanyian Floor 88 bersama Odda, yang berjaya meraih lebih tiga juta tontonan di platform YouTube serta kekal dalam carta trending. Tidak ketinggalan, lagu “Raya Kira Jadi” hasil gandingan Kitshafiq dan Syeriena Marcella yang turut mencatat hampir empat juta tontonan, sekali gus membuktikan penerimaan hangat peminat terhadap karya baharu berunsur raya.

Selain itu, beberapa lagu lain seperti “Raya 20 Simpang” oleh Ojenn Aiwahhh, “SHRMZDB” oleh Floor 88, serta “Tunaikan Saja Hari Raya” nyanyian Ehin dan Iera Milpan turut mencuri perhatian dan menjadi pilihan pendengar sepanjang musim perayaan ini.

Daripada MVM Music pula, nama-nama seperti Mas Idayu dengan lagu “Happy Happy Aidilfitri” dan Farez Adnan menerusi “Raya Di Mana” menambahkan lagi warna dalam senarai lagu raya tahun ini. Sementara itu, FUKiKA Music mempertaruhkan artis seperti Sarah Suhairi dengan lagu “Tak Sabar Nak Raya” serta kolaborasi “Gembiraya” yang menampilkan Ikhmal Nour, Sarah Suhairi dan Ijaa Ishak. Padu Records juga tidak ketinggalan menyumbang menerusi lagu “Barulah Raya” yang menampilkan gabungan artis seperti Chombi, H. Hafiz dan Beyla Inara.

Keseluruhannya, Seloka Lebaran 2026 memperlihatkan evolusi lagu raya yang semakin segar dan relevan dengan citarasa semasa, tanpa mengabaikan elemen tradisi yang menjadi nadi sambutan Aidilfitri.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta sokongan berterusan daripada media dan peminat, yang menjadi pemangkin kepada perkembangan industri muzik tempatan.
Dengan semangat Syawal yang masih hangat, kehadiran lagu-lagu raya baharu ini diharap terus menghidupkan suasana perayaan dan mencipta kenangan indah bersama keluarga dan insan tersayang. – GIT MEDIA (Kredit: Buzzing Malaysia)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *