10 Lagu Layak Ke AJL40 – TiwiKarma, Lumangad Oku Dika & Cak Cak Cekuk Saingan ‘Fresh’ Industri Muzik

GIT MEDIA: Detik yang dinantikan oleh seluruh peminat industri muzik tempatan akhirnya tiba apabila teka-teki mengenai senarai lagu yang layak ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL 40) akhirnya terjawab.Muzik Asia Tenggara

Seperti yang dijangkakan oleh para pemerhati seni, karya-karya gah seperti Kamu, Lemah, dan Tak Adil cemerlang menempatkan diri ke pusingan akhir.

Membawa semangat ‘Generasi Selamanya Juara’, saingan Separuh Akhir AJL 40 (AJL40 SA) telah melabuhkan tirainya dengan mempertandingkan 20 buah karya hebat.

Persaingan kali ini disifatkan cukup sengit dengan himpunan pelbagai nuansa muzik, bermula daripada genre balada yang meruntun jiwa hinggalah kepada irama eksperimental yang segar.

Setiap penyanyi dan komposer tampil berani mempertaruhkan naratif tersendiri demi memikat hati barisan juri profesional. Sistem penjurian bagi edisi saringan kali ini diketuai oleh pemuzik berkaliber, Datuk Acis, yang menilai setiap karya secara teliti dan menyeluruh.

Aspek pemarkahan bukan sahaja mengambil kira ketelitian dari segi gubahan muzik, malah melihat kepada kualiti vokal penyanyi serta impak keseluruhan persembahan mereka di atas pentas.

Selepas proses penilaian yang rapi, barisan juri telah mencapai kata sepakat bagi memuktamadkan 10 buah lagu terbaik yang layak berentap di pentas AJL 40 kelak.

Berikut merupakan senarai penuh 10 buah lagu yang berjaya menempah tiket ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 40:

Kamu – Aina Abdul
Lemah – Dayang Nurfaizah
Tak Adil – Aisha Retno
Nurcinta – Amir Masdi
Tangisan Seorang Pendosa – Marsha Milan
Tiwikarma – K.O.I
Semacam Pandora – Hazama
Cak Cak Cekuk – Wani Kayrie
Ke Mana Ni – Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik
Lumangad Oku Dika – Ryenald Guntabid

Acara saringan yang berlangsung mendebarkan selama dua malam itu telah dikemudi dengan cemerlang oleh dua pengacara wanita, Fiza Frizzy dan Sissy Imann. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *