December 8, 2024

Kenalkah anak kita dengan haiwan

Gayah tak terkejut pun jika ada kanak-kanak yang dilahir dan dibesarkan di bandar tidak kenal ayam dan tak tahu rupa lembu.

Anak saudara Gayah pun ada yang tidak kenal rupa haiwan itu kerana 24 jam asyik dengan gajet. Mujurlah mereka masih ‘ingat’ wajah Gayah yang tak berapa nak glamor ini.

Cuti sekolah pun dah ‘tiba’, apa kata ibu bapa bawa anak-anak ‘bercuti’ sehari di Zoo Negara. Kadang percutian tak perlu pergi ke tempat yang jauh sangat kerana apa yang utama ialah dapat berkumpul seisi keluarga.

Dapat makan bersama, dapat dengar celoteh anak-anak, Gayah rasa momen itu akan jadi sangat bermakna. Ciptalah kenangan yang indah untuk diingati anak-anak apabila mereka dewasa kelak dan merantau jauh dari keluarga menyambung pelajaran atau mencari rezeki di tempat orang.

Oklah, Gayah memang cepat emosi bila cakap bab ibu ayah ini. Minggu lalu, Gayah meluangkan masa pergi ke Zoo Negara, kononnya untuk mencari satu kawasan yang tenang dan aman.
Memang terhibur hati Gayah melihatkan aksi keluarga panda yang menjadi tarikan utama di sana. Sedang si ibu melelapkan mata, ‘baby’ panda sibuk dengan aktiviti ‘comelnya’ cuba naik para, tertonggeng-tonggeng.

Anda juga boleh ‘kenalkan’ anak-anak kepada orang hutan, chimpaze, landak dan seladang India yang petugas zoo beritahu Gayah, beratnya boleh menjangkau 200 tan. Bayangkan tubuh Gayah yang ramping ini dihempap haiwan itu, jadi lempenglah jawapnya.

Ada juga rusa, kuda belang, gajah, zirafah, buaya, harimau bengal, harimau malaya, burung undan, burung botak dan badak sumbu. Haiwan paling tua di sana ialah tiga ekor kura-kura dan seekor daripadanya berusia lebih 80 tahun.

Spesis burung botak ini sangat istimewa kerana pada sebelah pagi mereka akan terbang sehingga ke Putrajaya dan Shah Alam dan terbang pulang ke habitat mereka di Zoo Negara sekitar jam 3 atau 4 petang. Hebat bukan!

Kalau Gayah nak sebut satu-satu semua haiwan yang ada dia sana, panjang ‘list’. Jadi apa kata anda pergi sendiri. Kalau tak salah Gayah, ada 400 spesis haiwan di sana.

Bagi meraikan ‘hari kewujudan’ Zoo Negara yang ke-55 tahun, mereka akan mengadakan Fiesta 55 Tahun Zoo Negara pada Disember ini selama sebulan. Macam-macam ada dan semua aktiviti yang dirancang memang sesuai untuk seisi keluarga.

Nak tahu lebih lanjut layari web, www.zoonegaramalaysia.my. Selamat bercuti!
Lupa pula Gayah nak beritahu, di zoo juga ada bangku kayu di tepi tasik yang pernah merakamkan adegan Cikgu Shaari (lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee) ‘berdating’ dengan Cikgu Norkiah (Sharifah Hanim) dalam filem Masam-Masam Manis. Filem itu diterbitkan pada tahun 1965. Menarik bukan! Anda juga boleh melakar kenangan bersama keluarga di Zoo Negara.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts