GIT MEDIA: Industri perfileman tempatan yang kini banyak didominasi oleh genre aksi dan seram bakal disajikan dengan sebuah karya segar yang lebih santai. Naskhah terbaharu berjudul Kata Hati mempertaruhkan genre romantik komedi, mengangkat kisah ‘cinta dua darjat’ era moden antara seorang pelakon wanita popular dengan pemandu e-hailing.
Diarahkan oleh sutradara berbakat, Nadiah Hamzah, filem terbitan bersama Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn Bhd ini disifatkan sebagai sebuah kisah dongeng moden (modern fairy tale) tempatan.
Sesi memperkenalkan barisan penerbit, pengarah serta barisan pelakon filem itu berlansung semalam sewaktu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan di The Flint, Kota Damansara.
Nadiah ketika ditemui berkata, Kata Hati bukan sekadar naskhah komedi romantik biasa malah penceritaannya turut mengupas realiti sebenar kehidupan selebriti yang sering disembunyikan daripada lensa kamera dan peminat.
“Kita sudah lama tidak disajikan dengan filem yang sebegini jadi saya mahu bawa balik mood seperting filem Nothing Hill versi tempatan untuk penonton datang menonton dengan rileks dan mahu rasa bercinta,” katanya.
Bagi menterjemahkan kisah ini ke layar, Kata Hati mempertaruhkan gandingan pelakon muda yang sedang meningkat naik iaitu menampilkan Nia Atasha yang menggalas watak pelakon jelita, Ayra Natasha bergandingan bersama Yusof Hashim sebagai Imran Firdaus, seorang pemandu e‑hailing, serta Fazziq Muqris yang membawa watak Zayn Mikhail.

Lebih menarik kongsi Nadiah, kesemua pelakon berkenaan perlu menghadiri sesi uji bakat sebelum dipilih sebagai teraju utama.
“Mereka turut bersaing dengan beberapa nama besar dalam bidang lakonan, namun mereka berjaya menjadi pilihan dan membuktikan mampu membawa watak yang diberikan,” katanya.
Filem ini turut dimeriahkan dengan barisan pelakon pembantu berprofil tinggi, antaranya Scha Alyahya yang membawakan watak pengurus Ayra, selain Taqim Zaki dan Norreen Iman yang turut menyumbang lakonan berkesan.
Menariknya, penonton juga bakal dikejutkan dengan penampilan istimewa beberapa cameo istimewa daripada pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Shweta Sekhon, Aziz M. Osman, Adriana Adnan, Bella Rahim dan Ceddy Ang, sekali gus menambah nilai eksklusif kepada naskhah ini.
Kata Hati mengisahkan Ayra Natasha (Nia Atasha), seorang pelakon wanita yang sedang mencipta nama dan menjadi tumpuan ramai, lebih-lebih lagi selepas kemunculan sulungnya dalam sebuah filem aksi berskala besar bersama kekasihnya yang juga pelakon terkenal, Zayn Mikhail (Fazziq Muqris).
Pernah mengarah filem Motif sebelum ini, Nadiah berharap ‘Kata Hati’ yang dijadualkan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun depan, mampu menyentuh emosi penonton, mencetuskan tawa, air mata, dan mengingatkan kembali tentang kemanisan dalam percintaan. – GIT MEDIA
