February 11, 2025

Jaga Martabat Tanjak – Boleh Kreatif, Tapi Jangan Sampai Lacurkan Budaya 

Gandingan pereka fesyen yang aktif memperjuangkan budaya menerusi program tahunan Precious of Malaysia iaitu  Farel Mikhail dan Jonathan meluahkan rasa terkilan apabila ada yang mengambil mudah mengenai pakaian tradisional Malaysia termasuk tanjak.

Farel berkata, isu yang pernah timbul sebelum ini tidak wajar dipandang ringan apabila pakaian seperti tanjak disalah guna dan dipakai di tempat tidak sepatutnya atas nama kreativiti.

“Bukan tak boleh kreatif tapi jangan ambil mudah serta tidak hormat pada pakaian tradisi yang membawa maksud sangat tinggi.

“Tanjak sebagai contoh membawa maksud tanah yang dipijak jadi tempatnya di kepala bukan di bahagian lain, saya faham mahu kreatif tapi jangan sampai tidak cakna,” katanya pada majlis taklimat program Precious of Malaysia 2024 di Menara Affin, TRX baru-baru ini.

Jonathan turut senada dan berharap hal seperti nilai estetika dalam fesyen dan pakaian perlu dipertahankan dan jangan sesekali mengambil sikap sambil lewa.

“Meskipun saya bukan Melayu, saya sangat hargai nilai budaya dalam pakaian tradisi masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” katanya.

Sementara itu, mereka melalui FM Group membuka peluang kepada pereka muda untuk menonjolkan rekaan mereka dalam International Cultural Fashion Week (ICFW) yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos depan.

ICFW merupakan salah satu program bawah acara Precious Of Malaysia yang sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya.

“Kami sedar dan tahu, ramai sebenarnya pereka muda di luar sana yang berbakat besar dan mempunyai idea luar di luar kotak serta kreatif.

“Jadi, inilah peluang untuk mereka menonjolkan potensi yang ada demi mengejar cita-cita sebagai pereka fesyen terkenal suatu hari nanti,” kata Jonathan.

Farel menambah, berkarya tidak salah namun harus tahu batasnya.

“Kreativiti dan relevan mengikut trend itu bagus. Cuma nasihat saya janganlah sampai ‘melacurkan’ budaya kita menerusi fesyen yang anda reka.

“Maksud melacurkan budaya itu adalah mereka cipta busana yang boleh mendatangkan persepsi negatif.

“Misalnya mereka baju Melayu yang jarang kainnya, guna tanjak dijadikan baju seksi untuk menutup bahagian dada dan sebagainya.

“Mungkin nampak kreatif bagi sesetengah orang tapi ia seolah-olah ‘mencemarkan’ identiti budaya Melayu.

“Apabila rekaan sebegini dibawa ke pentas peragaan ia dilihat seolah-olah mempersendakan budaya itu sendiri. Orang yang melihat pun sudah tidak kenal asal usul busana yang diperagakan,” katanya.

ICFW platform untuk pereka muda, libatkan negara serantau Pertandingan rekaan fesyen ICFW (International Cultural Fashion Week) yang merupakan salah satu program bawah Precious Of Malaysia ini adalah satu platform buat pereka muda.

FM Group menganjurkan pertandingan ini sebagai platform kepada pereka fesyen baharu atau sedang mencipta nama.

Menurutnya lagi, tahun 2024 menyaksikan kelainan ICFW berbanding tahun-tahun sebelum ini apabila kali ini turut menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan India.

Pertandingan ini melibatkan melibatkan 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer, Promising Fashion Designer, Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.

Antara penaja yang turut serta dalam Precious Of Malaysia adalah Affin Bank Berhad, Pavilion Damansara Heights, Vivo, MyCar dan banyak lagi.  – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts