March 18, 2025

Siapa Buka Lampu – Filem Tiga Negara

Bagai mimpi menjadi nyata, apabila selepas menerbitkan 11 buah filem Tamil di India, penerbit Punnagai Poo Gheetha memberanikan diri untuk mencuba pasaran filem Melayu dengan menerbitkan filem seram komedi, Siapa Buka Lampu?

Punnagai Poo Gheetha atau mesra disapa Gheetha yang juga seorang aktres dan penyampai radio Tamil, Raaga, mendedahkan dia telah lama menyimpan impian untuk menembusi pasaran filem Melayu tetapi tidak bertemu dengan skrip yang sesuai.

“Saya penerbit dari Malaysia yang aktif menerbitkan filem Tamil di India dan pernah terbit sebuah filem Tamil Malaysia, tetapi untuk filem Melayu, Siapa Buka Lampu? merupakan karya pertama saya.

 

“Pasaran filem Melayu agak besar, tetapi sebelum ini saya tidak jumpa skrip yang sesuai. Tetapi selepas membaca skrip filem Siapa Buka Lampu? saya sendiri boleh ketawa jadi, saya tahu karya ini sangat menarik,” kata Gheetha.

Meskipun ini merupakan filem Melayu pertamanya, Gheetha mempunyai alasan yang kukuh memilih pengarah Indonesia, Reka Wijaya untuk mengemudi filem Siapa Buka Lampu?

Bukan itu sahaja, kru dan barisan pelakon juga berasal dari tiga buah negara, Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Saya mencari kelainan dan peluang pemasaran yang lebih luas. Gabungan tiga buah negara dalam filem ini dapat membantu menarik penonton bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga negara serantau,” katanya.

Selain masalah komunikasi, antara cabaran utama pembikinan filem yang menelan kos sebanyak RM1.3 juta itu, ialah Gheetha yang memegang watak sebagai Aadhya terpaksa membahagikan komitmen selaku penerbit dan pelakon.

Sambung Gheetha, dia berharap filem ini akan mendapat sambutan hangat daripada penonton kerana sesuai ditonton oleh seisi keluarga.

“Filem Siapa Buka Lampu? adalah sebuah karya perodi seram yang ringkas dan mudah difahami. Saya harap filem ini dapat menghilangkan tekanan penonton kerana ceritanya sangat lucu serta menghiburkan,” katanya.

Selain Gheetha filem Siapa Buka Lampu? yang telah mula ditayangkan pada 4 Julai lalu turut dibintangi oleh Qasrina Karim, Ammar Titan, Azhar Jalil, Angie Ang, Gesya Shandy, Issey Fazlisham, Bell Ngasri, Tia Tavee, Mamak Puteh dan Geoff Feyaerts. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts