Oleh: Zach Ismail (Pengerusi Zianafolks)
GIT MEDIA: Setelah hampir tiga tahun tanpa sebarang aktiviti bersama, komuniti peminat Ziana Zain yang dikenali sebagai Zianafolks akhirnya kembali bersatu menerusi majlis “Zianafolks Get Together & Ziana Zain Birthday Celebration” yang berlangsung meriah pada 16 Mei lalu di The Glass Galore, Tamarind Square, Cyberjaya.
Bertemakan “Denim & Diamonds”, majlis yang dirancang dalam tempoh kurang daripada tiga minggu itu berjaya menghimpunkan hampir 150 peminat dari seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bagi meraikan ulang tahun kelahiran penyanyi kesayangan ramai yang mesra disapa sebagai Kak Gee.
Pada malam penuh glamor itu, Ziana Zain tampil anggun dan sofistikated bersama seluruh Glam Team khas buat para peminatnya. Busana denim rekaan pereka fesyen tempatan Isyrafarysi digayakan dengan penuh elegan, disempurnakan lagi oleh sentuhan penata gaya Daniishazman serta penata hijab Nora Khartika. Solekan eksklusif oleh Sheila Mohamad yang sememangnya menjadi pilihan Ziana turut menyerlahkan lagi pesona beliau pada malam istimewa itu.


Beliau nyata terharu dan teruja dapat kembali meluangkan masa bersama para peminat yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang lebih 35 tahun perjalanan seninya.
Lebih istimewa, majlis tersebut berjaya menghimpunkan peminat pelbagai generasi seawal usia 12 tahun hingga 85 tahun. Malah, ada peminat yang sanggup menunggu lama di luar dewan semata-mata untuk bertemu dan bergambar bersama Ziana Zain walaupun tidak berpeluang menyertai majlis di dalam dewan.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun oleh pihak Zianafolks sepanjang malam tersebut. Antara segmen utama yang mencuri perhatian ialah “Sembang Santai” yang dikendalikan oleh hos Vivina Abdullah. Segmen itu memberi peluang kepada peminat untuk bertanya soalan secara lebih dekat dan santai selain mendapatkan perkembangan terkini mengenai kerjaya seni Ziana Zain.


Dalam sesi tersebut, Ziana turut menyeru para peminat agar tidak membalas sebarang kritikan atau provokasi di media sosial demi mengelakkan isu berpanjangan. Sebagai penghargaan kepada para peminat, beliau turut mendendangkan lagu “Putus Terpaksa” secara acapella yang nyata menyentuh hati hadirin.
Majlis diakhiri dengan sesi memotong kek ulang tahun dan sesi fotografi bersama para peminat. – GIT MEDIA
