Bukan sekadar helaian kain biasa, namun Nafesa hadir dengan sentuhan penuh estetika mengangkat kasih sayang seorang wanita dengan darjat paling tinggi iaitu seorang ibu.
Lebih mempesona, jenama ini bijak memilih muse, Primadona dan bekas super model dan artis versatail Malaysia, Noor Kumalasari yang melangkah anggun di pentas peragaan saat jenama ini dilancarkan di The Agam, baru-baru ini.
Nama Nafesa diinspirasikan daripada nama ibu pengasas, Naveesof, melambangkan kelembutan, ketabahan, dan nilai seorang wanita yang begitu berharga.
Segalanya bermula di Arafah – ketika doa, rintihan jiwa dan ingatan terhadap kasih ibu membawa kepada satu ilham suci. Inspirasi itu terus dilakar di atas kanvas, dan hari ini menjadi permulaan baharu di Saudagaar Asia.
Menampilkan identiti wanita profesional, yakin dan berwibawa, Nafesa meraikan pesona wanita moden dengan gaya yang anggun dan bercitarasa tinggi.

Koleksi The Alhambra Monogram diinspirasikan daripada seni bina Istana Alhambra di Granada, simbol kehalusan seni Islam, kemewahan dan kekuatan tamadun yang menggunakan fabrik premium satin, koleksi ini lembut, ringan, tidak jarang, mudah dibentuk dan selesa dipakai.
Setiap corak menyampaikan mesej, “Wanita yang anggun, yakin, dan mampu mencipta rezeki melalui kecantikan.”
Pengasas Nafesa yang juga Ketua Eksekutif Saudagar Asia Sdn Bhd, Said Saiful Fazli Said Aluwi berkata, pasukannya teruja apabila mendapat perkhabaran Noor Kumalasari menerima pinangan mereka.
“Ketika berbincang tentang siapa yang sesuai dilantik sebagai muse dan nama Noor Kumalasari disebut, dalam hati saya terdetik mesti dia tidak mahu, sebab tahu kak Noor sudah bersara.
“Saya menjerit di pejabat apabila kak Noor setuju menjadi muse kami. Mak pula memang mahukan Noor Kumalasari serta beritahu saya Noor Kumalasari pilihan paling tepat,” kongsinya.

Sementara itu, Pengarah Saudagaar Asia Sdn Bhd yang juga Pakar Pembangunan Perniagaan Profesional, Datuk Zafrol Rizal Mat, menekankan pemilihan Noor adalah tepat sebagai simbolik menyatukan warisan, keanggunan dan inspirasi wanita moden.
“Noor sangat ‘bold’. Kami cuba melamar dia sebagai muse untuk pelancaran kali ini kerana merasakan selebriti biasa tidak memberi impak.
“Saya ada juga berbual dengan Noor, betulkah benar-benar tidak mahu bekerja lagi? Kalau masih mahu bekerja, Nafesa ingin meminang Noor untuk menjadi duta,” katanya.

Noor Kumalasari sendiri mengakui terharu dan berbesar hati menerima pelawaan sebagai muse koleksi istimewa itu.
“Said dan ibunya sendiri yang mahukan saya. Saya rasa amat berbesar hati dengan jemputan itu, apabila tahu Nafesa adalah projek dedikasi kepada ibu Tuan Said, saya sangat berbangga dengan Said.
“Selagi ibu kita masih ada, buatlah sebanyak pahala dan tabur jasa kepadanya. Ini juga satu bentuk dakwah dilakukan Said,” katanya. – GIT MEDIA
