March 29, 2024

Rizman Ruzaini Ubah Mimpi Jadi Pasti

KUALA LUMPUR: Mungkin ada yang hanya mampu memasang angan untuk menyarung busana hasil rekaan Rizman Ruzaini yang mewah dan premium.

Dalam bahasa muda, ia hanya mimpi alam fantasi, namun duo pereka yang merendah diri ini sedar serta sedia mengubah impian itu menjadi pasti.

Lebih bermakna bukan saja buat pelanggan yang mengidam tetapi juga mengangkat seorang bakat muda untuk sama-sama meneruskan legasi jenama Rizman Ruzaini.

Baru-baru ini Rizman Ruzaini perkenalkan Junior Designer, dengan melancarkan Koleksi RR Bridal ‘23 dengan harga mampu milik.

“Ini bukan perkara baharu dalam dunia fesyen antarabangsa, malah jenama terkenal lain memang mempunyai pereka muda sebagai pelapis.

“Di Rizman Ruzaini sendiri kami mahu menuju ke destinasi yang lebih jauh dan mempunyai seseorang yang akan membawa aspirasi kami pada waktu ini sangat penting.

“Bukan satu kerja mudah, dalam tempoh pencarian ini juga, elemen utama yang kami ambilkira adalah Junior Designer yang bakal dipilih memahami DNA Rizman Ruzaini,” katanya.

Melihat kehadiran Akmal juga sebagai penanda aras kepada perniagaan mereka kini, jelas Rizman, penting untuk setiap pelanggan mereka di luar sana tahu bahawa hasil setiap rekaan Junior Designer ini tetap akan dipantau oleh Rizman dan Ruzaini sendiri.

“Alhamdulillah selepas hampir setahun, kami diketemukan dengan Akmal yang kami yakin mampu menyempurnakan setiap rekaan dengan sentuhan Rizman Ruzaini.

“Kami berhasrat mahu menjadi sebahagian daripada hari penting setiap pengantin di Malaysia, jadi kehadiran junior designer ini adalah solusi daripada kami buat semua bakal pengantin dengan harga permulaan hanya dari RM4,000,” katanya.

Tidak sahaja perlu kreatif dalam soal rekaan, tambah Rizman kriteria yang turut ditekankan dalam pemilihan Junior Designer ini juga adalah persembahan diri serta kemampuan berkomunikasi dengan baik.

Sementara itu berkongsi rasa syukur, Akmal memberitahu dia cukup bertuah untuk berada di bawah kelolaan dua pereka terkenal negara ini.

Tambah anak kelahiran Sandakan, Sabah ini juga seperti yang dijanjikan dia akan menyalurkan kreativitinya yang disesuaikan dengan setiap rekaan jenama ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada Rizman dan Ruzaini kerana mempercayai bakat yang saya ada. Bukan mudah sebenarnya saya membawa jenama sebesar ini, justeru apabila diberi peluang saya fikir ini adalah masa yang terbaik untuk saya mencabar diri,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts