GIT MEDIA: Walaupun baru berusia sembilan tahun, Anggrek berjaya membuktikan dirinya antara peserta paling menyerlah dan berjiwa kental dalam program realiti Talk To My Manager Musim 2 (TTMM2).
Sepanjang pertandingan berlangsung, Anggrek konsisten mempamerkan komitmen luar biasa menerusi setiap tugasan dan persembahan yang diberikan. Biarpun bersaing dengan peserta lain yang lebih berpengalaman, anak kepada penyanyi Adira itu dilihat tidak pernah gentar untuk mencabar kemampuan diri.
Apa yang paling mencuri perhatian adalah keberaniannya membawakan persembahan yang memerlukan tahap tenaga tinggi serta kawalan pentas yang bukan mudah untuk dilakukan oleh kanak-kanak seusianya.
Antara persembahan yang menjadi bualan ramai ialah ketika membawakan lagu Temberang bersama penyanyi dan penghibur terkenal, Mimi Fly. Meskipun berkongsi pentas dengan seorang penghibur berpengalaman yang terkenal dengan tenaga dan karisma luar biasa, Anggrek berjaya memberikan persembahan yang seiring dari segi semangat, ekspresi dan penguasaan pentas.

Lebih mengagumkan, persembahan Anggrek bukan sahaja memerlukan nyanyian secara langsung, malah turut melibatkan koreografi mencabar serta elemen aksi dan stunt yang memerlukan fokus tinggi seperti di minggu tugasan lagu Cak Cekuk.
Tidak kurang juga pada minggu lalu, apabila bunga kesayangan Adira ini melunaskan tugasan membawakan lagu Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Kesuma dengan baik termasuk gerak geri persembahan yang memukau.
Anggrek berjaya melaksanakannya dengan penuh keyakinan sehingga mendapat pujian ramai penonton.
Selain itu, kebolehannya menghafal lirik lagu, pergerakan tarian dan susunan persembahan yang kompleks turut memperlihatkan disiplin serta kesungguhan yang jarang dimiliki oleh kanak-kanak seusianya.
Adira sendiri pernah berkongsi, Anggrek komited dalam melakukan tugasan dan tidak merungut untuk melakukan latihan tugasan mingguan yang diberikan.

“Dia akan selalu tanya megenai persembahan dan latihannya malah tidak menolak untuk melakukan tugasan, saya berbangga dengan keseungguhan yang diberikan dan terima kasih juga kepada semua yang sayang pada Anggrek,” katanya.
Dari sudut vokal, Anggrek masih berada dalam fasa pembelajaran dan perkembangan yang normal bagi seorang penyanyi muda. Namun kekuatan sebenar yang dimiliki bukan hanya terletak pada nyanyian semata-mata, sebaliknya pada pakej lengkap sebagai seorang penghibur.
Karismanya di atas pentas, keyakinan ketika beraksi, ekspresi yang natural serta kemampuannya berhubung dengan penonton menjadikan Anggrek antara peserta yang mempunyai aura bintang tersendiri.
Ramai berpendapat, bakat seperti Anggrek tidak datang setiap masa. Dengan bimbingan yang betul serta ruang untuk terus berkembang, tidak mustahil namanya akan menjadi antara pelapis industri hiburan tanah air yang mampu mencipta impak besar pada masa hadapan.
Apa yang pasti, sepanjang TTMM2, Anggrek membuktikan bahawa usia hanyalah angka. Semangat juang, kerja keras dan keberanian untuk mencabar diri adalah faktor yang menjadikannya antara peserta paling ‘fighter’ dan outstanding dalam pertandingan berkenaan.

Jika terus diasah dan diberikan peluang yang sewajarnya, Anggrek berpotensi besar untuk muncul sebagai antara bintang generasi baharu yang bakal mewarnai industri hiburan Malaysia pada masa akan datang.
Menang atau tidak dalam perjuangan final Ahad ini, Anggrek sudahpun bertakhta di hati ramai dan pemenang yang menjadi bintang dalam ciptaan, mekar dan mewangilah Anggrek. – GIT MEDIA
