June 10, 2023

Aisha Retno Faham Silibus Dunia Hiburan

KUALA LUMPUR: Penyanyi berbakat besar Aisha Retno membuktikan dirinya antara pelapis terbaik industri tanah air bukan sahaja kerana bakat hebat yang dimiliki tetapi juga dia membuktikan semakin faham dengan realiti dunia hiburan

Bertemu dengannya baru-baru ini, sang bunga berusia 22 tahun ini lancar dan tenang menjawab setiap soalan yang diajukan kepadanya termasuk membabitkan hal peribadi.

Aisha memahami silibus dunia hiburan dengan baik dan faham tugas masing-masing dalam memberikan warna dalam liputan kerjaya seseorang artis itu.

Tidak hairanlah, andai dia mampu kekal dalam koordinat industri hiburan seperti senior lain termasuk Ziana Zain, Erra Fazira dan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sentiasa faham serta memberikan kerjasama dalam setiap soalan yang diajukan kepada mereka.

“Ya saya sedang berkawan rapat dengan seorang lelaki dari negara seberang dan kami dalam fasa mengenali hati budi masing-masing. Saya selesa dengannya kerana kami berkongsi minat yang sama iaitu muzik.

“Selain soal perasaan kami juga berbincang banyak benda dalam hal yang membabitkan minat dan pandangan dalam bidang muzik,” katanya tanpa berselindung.

Aisha bagaimanapun meminta supaya tidak menyebut nama arjuna berkenaan dan berjanji andai semuanya tertulis sehingga ke ikatan jodoh dia akan berkongsi kepada media dan peminat.

“Saya segan sebenarnya untuk cerita tapi ya begitulah. Lebih-lebih lagi bila depan ibu dan bapa saya hari ini,” katanya dalam sesi minum petang eksklusif anjuran Sony Music di Fly Me To Kl baru-baru ini yang turut disertai ibu dan bapanya.

Majlis itu bersempena single terbaharunya berjudul I Love Sadness More’ (ILSM) iaitu sekuel kepada single ‘W.H.U.T (Wanna Hold U Tight)’ yang mendapat lebih daripada 35 juta strim.

Pemilik nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata single ciptaannya itu mendapat ilham dari mood muzik Madison Beer dan Ariana Grande, berserta sedikit sebanyak menyajikan pendengar dengan elemen elemen lagu tema Disney sekitar 40 dan 50an dengan suntikan bunyi moden yang ingin diketengahkannya melalui ‘ILSM’

“Ini satu lagi karya saya dengan gesekan biola kecil, hinggalah ke komposisi orkestra yang diseling dengan drum 808 mengenai penceritaan sebuah rasa dan luahan hati seseorang mengenai cinta yang tidak kesampaian,” katanya.

“Saya benar-benar ingin mencurahkan segalanya menerusi ‘ILSM’ [untuk] berkongsi bersama-sama mereka di luar sana yang menyayangi itu tidak semestinya memiliki,” katanya.

Tambah penyanyi yang popular menerusi single Pencarianku, ‘ILSM’ secara amnya menggambarkan krisis dalaman seseorang yang cuba menangani memori masa dalam usaha memulakan masa depan lebih baik lebih-lebih lagi bagi mereka yang berdepan dengan kisah cinta pada mujur masih muda.

Menerusi single itu juga Aisha mahu semua pendengar dapat menjadikan lagu berkenaan sebagai semangat dan suntikan untuk kuat serta meneruskan kehidupan walau apapun yang terjadi.

“Belajar memaafkan. Biarkan. Biarkan air mata ini menjadi benih untuk hari hari bahagia yang mendatang,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts