October 11, 2024

Jaja Ishak Angkat Lokasi Menarik Di Pahang

KUALA LUMPUR: Sebagai anak jati Pahang penerbit Jaja Ishak memainkan peranannya mengangkat lokasi menarik di negeri kelahirannya itu dalam naskhah yang diterbitkan.

Bagi pemilik rumah produksi Jaja Ishak Channel Sdn Bhd itu, dia tidak kisah berbelanja lebih bagi menaggung kos membawa pelakon ke lokasi ke Pahang asalkan dapat berkongsi keindahan sinematografi di negeri Tok Gajah itu.

“Ini antara sumbangan saya kepada negeri asal saya dan membantu memperkenalkan tempat menarik di negeri Pahang. Pada saya banyak lokasi menarik yang masih belum digunakan dalam drama.

“Saya percaya usaha ini akan mempromosikan negeri dan Malaysia ke pasaran lebih luas apabila orang menonton naskhah yang dihasilkan,” katanya kepada GayahIsTyping.

Pemilik nama sebenar Surja Khairul Ishak berkata Pahang juga memiliki rupa bentuk geografi yang pelbagai termasuk hutan, sungai, laut, air terjun, laut, bukit dan gunung.

Tambahnya, kerajaan negeri juga mengalu-alukan penerbit yang ingin bekerjasama untuk melakukan penggambaran di negeri itu.

“Saya dimaklumkan kerajaan negeri gembira untuk bekerjasama dan boleh tampil untuk menjadikan lokasi di negeri itu sebagai latar drama.

“Banyak yang boleh dipromosikan bukan sahaja lokasi tetapi juga makanan dan kraftangan tradisi serta unik untuk diketengahkan,” katanya.

Jaja berkata selain makanan seperti ikan patin dan puding Di Raja yang diketahui ramai, terdapat hidangan tradisi Pahang yang lain iaitu kuih pena, ikan krai dan kelah.

Bercerita lanjut, Jaja berkata dia sendiri berpuas hati dengan pengalamannya menggunakan lokasi di Taman Negara Pahang, Kuala Tahan ketika penggambaran drama Anak Sena yang diterbitkan pada 2021.

“Saya akui ada cabaran tersendiri kerana kami perlu menaiki bot meredah hutan dan sungai. 

“Lebih mencabar lokasi penggambaran kami juga tidak ada bekalan elektrik dan air hanya menggunakan tenaga solar,” katanya.

Antara babak dalam drama Anak Sena

 

Jaja menambah dia juga bercadang untuk menampilkan seni kraftangan Tenunan Di Raja Pahang dalam produksinya.

Baginya, banyak tradisi turun temurun tempatan yang wajar digunakan dalam naskhah penerbitan di negara ini tanpa perlu terlalu memandang ke negara luar.

“Kita mempunyai banyak nilai dan tradisi yang tinggi nilai estetikanya untuk dipaparkan begitu juga lokasi saujana mata memandang seperti yang saya katakan,” katanya.

Sementara itu, Jaja berkata dia bakal sibuk menerbitkan drama episod Boss Kid dan Diari Cikgu selain beberapa drama untuk tayangan Hari Raya tahun depan. – GayahIsTyping.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts