November 6, 2024

Hisyam Dan Mel Rose Kekal Hubungan Baik. – Percaya Semua Pihak Maklum Status Perkahwinan

Pelakon Hisyam Hamid percaya semua pihak sudah maklum mengenai status perkahwinannya berdasarkan kenyataan yang dibuat sebelum ini.

Dia yang berasal dari Singapura berkata, dirinya lebih selesa untuk mengakui dia dan Mel Rose atau Rosmawati Hanafi kini masih mengekalkan hubungan baik.

“Saya tidak mahu oleh kerana satu detik hitam yang berlaku antara kami memusnahkan hubungan ini.

“Buat masa ini kami rasa jalan yang terbaik adalah untuk kami tidak lagi menjadi suami isteri.

“Kami hanya mahu fokus mara ke depan. Masing-masing sudah pun membawa haluan sendiri. Apa paling penting, kami sama-sama ada tanggungjawab terhadap anak-anak dan mereka juga berada di bawah penjagaan saya,” katanya.

Hisyam berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada masa sama, Hisyam yang mula dikenali menerusi drama Ariana Rose itu, Mel masih kekal sebagai pengurusnya dan mereka juga tetap berkomunikasi baik setiap hari.

“Tak ada yang salah atau negatif untuk kami teruskan demi anak-anak. Apa yang berlaku sudah berlaku. Buat masa ini kami selesa berkawan baik, lebih dari itu saya tak pasti, masa yang akan menentukan.

“Pada akhirnya dia adalah ibu kepada anak-anak saya. Hampir 20 tahun kami bersama, tidak semuanya buruk dan negatif. Banyak benda positif yang kami lalui.

“Dia melahirkan dua anak saya, itu adalah satu pengorbanan besar. Momen itu saya hargai dan hormat dia,” katanya.

Ditanya tindakannya yang seolah-olah berdolak dalik mengenai status hubungannya, Hisyam berkata dia tidak mahu berita tersebut menjejaskan emosi anak-anaknya.


“Sejak dulu, apa sahaja yang saya buat, saya akan pastikan tidak ada kontroversi yang menjejaskan anak-anak saya, saya mahu beri contoh terbaik pada mereka.

“Begitu jugalah bila hal ini ditanya, saya tidak mahu pada akhirnya berita itu memberi kesan pada mereka atau mereka tahu dari sumber lain,” katanya.

Untuk rekod, Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Rosmawati pada 2006.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15 tahun. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts