April 25, 2025

Tawaran Tak Putus, Belum Gulung Tikar

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh Didie Alias melemparkan senyuman tenang saat ditanya khabar yang bertebaran kononnya dia sudah gulung tikar dan tidak lagi menganjurkan karnival jualan seperti yang diusahakan sebelum ini.

Dia berkata, dirinya sibuk dengan tawaran lakonan yang diterima selain undangan persembahan persendirian yang diterima. Malah, karnival jualan anjurannya yang sudah dijenama semula iaitu Stylo Fest tetap berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah saya masih aktif bukan setakat kerjaya industri hiburan tetapi juga karnival jualan yang saya anjurkan. Sebaik tamat PKP sebelum ini kami sudah pun menjelajah ke beberapa negeri termasuk di Sibu dan Kota Kinabalu.

Foto: Astro/AZRUL RAFIE

“Untuk tahun depan juga kita sudah siap dengan pelan termasuk karnival jualan sempena Aidilfitri selama 73 jam di ibu kota,” katanya.

Lantaran, tidak timbul isu gulung tikar seperti yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pelakon yang sinonim dengan watak antagonis dan komedi itu berkata, tidak tidak terkejut timbul kata-kata negatif seperti itu dan enggan ambil pusing kerana sudah cukup masak dengan hal-hal seperti itu.

“Saya sudah tidak kuasa layan, biasalah akan ada saja yang bercakap itu dan ini. Saya lebih suka jalan terus buat semua yang boleh mendatangkan rezeki dan berkongsi dengan mereka yang berminat,” katanya.

Terdahulu Didie diumumkan sebagai antara sembilan juri untuk program The Masked Singer Malaysia musim ketiga (TMSMY 3) yang sudah bersiaran pada 23 Disember lalu.

Kemunculan wanita yang mesra disapa Mummy itu bersama beberapa juri muka baharu mendapat respon positif di media sosial yang menganggap mereka terutamanya Didie memainkan peranan dengan baik sekali.

“Kalau tengok Mummy memang sesuai dengan program ini sebab fesyen Mummy memang macam peserta juga. Pada generasi baharu yang tak kenal Mummy sila Google ok dan tengok fesyen Mummy,” katanya.

Didie, Elly Mazlien, Emma Maembong dan barisan juri muka baharu yang lain menerima pujian netizen kerana memainkan peranan yang baik meskipun baru minggu pertama TMSMY 3 berlangsung. – GayahIsTyping

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts