January 23, 2025

Unknown Rujuk Lagu Korea

KUALA LUMPUR : Dalam memastikan mereka terus menjadi pilihan ramai kumpulan lima anak muda yang dikenali dengan nama Unknown menggunakan formula mengikut trend muzik semasa.

Lantaran itu, kumpulan yang terdiri daripada Momo, Haf, Zaq, Ameerdan Izmeer melahirkan single terbaharu berjudul Tersakiti yang diinspirasikan dari lagu Korea.

Momo berkata, single itu adalah yang kedua selepas kejayaan single pertama berjudul ‘Jangan Marah (Baby Sayang)’ yang melonjak viral di laman sosial TikTok dengan hampir 300 ribu tanda suka.

“Alhamdulillah, setelah penerimaan luar jangkaan daripada peminat terhadap single pertama kami berjudul Jangan Marah (Baby Sayang), kami semakin dikenali terutamanya di laman sosial.

“Kini, kami ingin meneruskan kejayaan tersebut dengan single kedua berjudul Tersakiti,” katanya.

Momo menambah lagu Tersakiti adalah ciptaannya bersama Haf, di mana idea disebalik lagu ini diinspirasikan daripada lagu Korea yang menjadi kegilaan remaja masa kini.

“Tersakiti bermaksud memberi pesan buat mereka yang sedang merasa ‘sakit’ atau ‘pedih’ di dalam jiwa yang diolah bentuk menjadi sebuah lagu,” katanya.

Sementara itu, Izmeer berkata perjalanan dia dan rakan-rakannya masih lagi jauh namun sentiasa menunjukkan dedikasi dan minat yang mendalam dalam bidang muzik.

“Berilah kami peluang menonjolkan bakat dalam mewarnai industri muzik Malaysia sebagai pelapis generasi baru dan menantikan komen positif mahupun negatif dari single Tersakiti ini.

“Akhir sekali, buat sesiapa yang mendengar lagu Tersakiti, bukalah mata dan jiwa anda agar memahami situasi orang sekeliling yang sedang mengalami masalah jiwa, bukan saja dalam percintaan, tetapi dalam kehidupan seharian,” pesannya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts