January 19, 2025

Petaka: Perangkap Hidup Mewah

Petaka sebuah naskhah yang sarat dengan realiti masyarakat hari ini mengenai perjuangan hidup seorang manusia. Sifirnya mudah, bila rasa tamak mula mengusai diri, pasti akan berkahir dengan petaka.

Meskipun kisah yang dibawa bukanlah satu yang baharu namun ia diolah dengan menarik dan membawa situasi hari ini mengenai tiga beranak yang berdepan dengan takdir hidup yang kurang menyebelahi mereka.

Filem ini banyak mengajar supaya sentiasa belajar mensyukuri nikmat hidup dan jangan terlalu mudah percaya apabila ditawarkan kemewahan luar biasa secara tiba-tiba. Dua hal ini sangat relevan dengan isu yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Lakonan Azman Ahmad yang layak dipuji.

Kita kadangkala lekas kabur mata apabila dijanjikan benda-benda yang menarik dan dikaburi dengan kemewahan sedangkan ada perangkap yang menanti tanpa kita sedar.

Penulis yakin, inilah perkara yang ingin diingatkan kepada khalayak penonton. Lebih-lebih lagi, Petaka yang disiarkan di saluran Astro First sejak 4 Feb lalu, mendapat sokongan Agensi Anti Dadah Kebangsaan sempena sambutan Kempen Anti Dadah ke-38 pada 19 Feb ini.

Diterbitkan oleh Arie Zaharie Production Sdn Bhd dan AA Success Pictures, kisah ini memaparkan bagaimana isu dadah masih menjadi barah dalam masyarakat yang diperalat oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Filem ini mempunyai sinematografi yang sesuai dengan perjalanan ceritanya selain sudut kamera dan lokasi yang selari dengan setiap babak yang dipaparkan.

Penonton boleh tertawa dan ada masa pastinya mengalirkan air mata tanpa sedar.

Dari segi lakonan, filem ini berani tanpa membariskam nama komersial yang ramai termasuk heronya. Hanya nama Nabila Huda dan Wan Maimunah yang masyhur berbanding Azman Ahmad yang diberi tanggungjawab menggalas watak Sham selaku peranan utama.

Azman memberikan justifikasi yang baik untuk wataknya. Bagi Wan Maimunah dan Nabila, apa lagi yang boleh dikatakan terhadap dua pelakon dengan kredibiliti lakonan mereka berada pada tahap tersendiri.

Bintang yang paling layak mendapat pujian pastinya PU Azman yang membawakan watak Haziq dalam filem ini. Azman nyata menjadi pelakon yang baik dan lari dari imej umumnya sebagai pendakwah. (Ada juga unsur dakwah sepintas lalu menerusi dialog yang dituturkan. Kemas dan menarik.)

Penulis suka bagaimana Azman tampil dalam Petaka kerana dia benar-benar berlakon dan perwatakan antagonisnya menjadi. Azman mampu membawa watak lebih mencabar. Tidak keterlaluan andai penulis katakan, lakonan Azman antara alasan kukuh untuk menonton filem ini.

Filem ini menarik untuk ditonton termasuk memaparkan masih ada masyarakat yang hidup mengharapkan telefon awam.

Satu persoalan, mengapa Sham memilih untuk menghadiahkan adiknya iPhone berbanding menyambung bekalan elektrik ke rumah mereka? Penggunaan dialek utara juga pada tahap memuaskan. Hal ini antara yang wajar diambil kira sama ada perlu atau tidak.

Sinopsis:

Petaka mengisahkan kemiskinan hidup keluarga Sham selepas kematian ayahnya. Ibunya menderita sakit kaki, manakala adiknya, Syikin tidak mampu ke sekolah kerana kekangan kewangan.

Sham bekerja keras melakukan kerja-kerja kampung bukan sahaja untuk menyara keluarganya malah demi memenuhi hasrat hati bagi menebus balik rumah pusaka yang sebelum ini terpaksa dijual kerana kemiskinan.

Kedaifan keluarganya berubah secara drastik apabila Sham menerima tawaran bekerja sebagai pemandu lori barang di kedai perabot Haziq. Tugasnya hanya mengambil dan menghantar barangan perabot dari sempadan Thailand ke kedai Haziq di Alor Setar. Haziq bekerja di bawah Datuk Jamil.

Upah yang diterimanya cukup lumayan buat seorang pemandu lori. Walaupun terdetik di hatinya tentang upah itu, namun Sham teruskan juga pekerjaan tersebut selepas percaya kepada Haziq. Sehinggalah Sham dapat menebus semula rumah pusaka arwah ayahnya.

Pekerja Haziq, Ima menasihati Sham supaya berhenti daripada pekerjaan itu tanpa mengesyaki apa-apa. Bagaimanapun upah yang diterimanya semakin banyak dan membuatkan Sham mula tertanya-tanya.

Apakah kesudahannya? Luangkan masa kira-kira 90 minit anda untuk menonton. Penulis jamin berbaloi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts