Iskandar Ismail Dan Idayu Saling Memuji – Berpadu Vokal Dalam Karya Agung ‘Mahal’

GIT MEDIA: Dua juara dari program realiti berbeza masing-masing saling memuji dan mengagumi kebolehan nyanyian mereka malah mengaku teruja apabila dipertemukan dalam single berjudul Mahal.

Baik Iskandar Ismail sang juara Gegar Vaganza edisi terbaharu dan Idayu juara Akademi Fantasia All Stars mengakui mereka bertuah apabila kedua-duanya muncul dalam single power ballad ciptaan komposer, Farouk Roman yang diterbitkan oleh Sony Music Malaysia.

Gandingan berkenaan dianggap sebuah paduan suara epik yang menggandingkan vokal berkarisma Iskandar dengan nada tinggi memukau milik Idayu.

‘Mahal’ kini mula mendominasi carta muzik dan dipilih sebagai runut bunyi utama drama rantaian mega 60 episod di Astro sekali gus membuktikan kualiti premium karya ini.

“Saya sudah rakam dulu lagu ini dan tidak tahu siapakan yang bakal bergandingan dengan saya. Yang saya ingat saya minta pada Farouk supaya dapat penyanyi yang mempunyai vokal hebat.

“Bila dapat tahu abang Iskandar saya memang teruja dan tahu dia adalah pilihan yang tepat,” kongsi Idayu.

Bagi Iskandar, meskipun merakamkan lagu berkenaan secara berasinga, vokal Idayu memberikan warna dan sesuai dengan jalur suara dirinya.

“Saya dengar dan saya senyum sebab saya tahu suara dia memang bagus ada ada aura Mariah Carey,” katanya.

Iskandar di bawah pengurusan MindOrder juga mengakui Mahal antara usaha untuk dirinya terus menawan hati peminat di Malaysia manakala Idayu juga berharap single duet ini mampu dibawa peringkat tertinggi termasuk Anugerah Juara Lagu.

Lagu ‘Mahal’ tampil dengan keunikan tersendiri kerana ia sebuah karya yang mengangkat martabat perasaan mengatasi material. Menurut Farouk Roman, lagu ini menuntut penghayatan dan teknik vokal kelas atasan. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *