PETALING JAYA : Pelakon Sophia Albarakbah memberitahu kehadirannya di malam konsert mingguan All Stars Gegar Vaganza pada Ahad lalu bukan untuk Aliff Aziz.
Dia berkata, kemunculannya hanya bertujuan menemani sepupunya Aisha Retno yang membuat persembahan untuk segmen GV+ iaitu sebahagian dari rancangan berkenaan.
“GV itu untuk apa? Siapa yang masuk Gegar Vaganza? Bukankah ramai artis yang masuk.
“Lagipun saya hadir pada hari tersebut untuk menyokong Aisha sebab dia buat persembahan,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Filem Harimau Malaya: The Untold Journey.
Malah, dia turut menyangkal dakwaan bergegas pulang selepas persembahan Aliff yang menyampaikan lagu Kasih nyanyian asal Hetty Koes Endang.
Sophia turut menegaskan dia mempunyai hak untuk menghadiri sebarang acara hiburan termasuk konsert GV.
“Saya pulang sekitar pukul 11 malam selepas Aisha buat persembahan. Saya juga ada hak untuk pergi menyokong sesiapa.
“Sebenarnya perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu pun sebab benda sudah lama berlaku,” katanya.
Terdahulu kehadiran Sophia mencuri perhatian ramai kerana didakwa hadir bagi menonton Aliff Aziz yang pernah terkait dengan kontroversi cinta lokasi.
Bagaimanapun, Aliff enggan memberi komen atas kehadiran Sophia kerana bimbang akan timbul spekulasi tidak betul. – GayahIsTyping