GIT MEDIA: Penyanyi Azmi Saat menganggap isu dirinya dan isteri menerima layanan dingin semasa berurusan dengan sebuah bank seperti yang tular baru-baru ini sudah selesai dan menafikan dirinya mahukan layanan istimewa.
“Bagi saya kami yang ada kekurangan ini juga faham masing-masing ada tugas yang perlu diselesaikan, kami tak minta layanan istimewa atau kaunter khas, cukup hanya profesional,” katanya mengulas mengenai hal berkenaan.
Azmi berkata perkongsiannya itu hanya berniat agar semua pihak memberikan Kerjasama yang baik dalam memastikan setiap urusan dapat diselesaikan dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Mahu melupakan episode itu, penyanyi berbakat besar dengan keupayaan menyampaikan lagu dengan emosi yang baik itu muncul dengan single baharu berjudul Satu.
Karya bergenre balada kerohanian ini disifatkan bukan sekadar sebuah eksperimen, sebaliknya ia adalah satu deklarasi berani yang menonjolkan kematangan vokal serta versatiliti anak kelahiran Mersing, Johor itu dalam memacu karier solonya.

Menariknya, lagu yang dijadualkan menemui peminat pada bulan Februari ini merupakan hasil sentuhan magis vokalis dan komposer terkenal, Naqiu, manakala bait-bait lirik puitisnya pula digarap indah oleh Wit Mohsen.
Menurut penyanyi berusia 38 tahun ini, beliau mula jatuh cinta dengan melodi SATU sejak pertama kali mendengarnya tiga tahun lalu.
“Naqiu sebenarnya dah berikan lagu ini kepada saya sejak tiga tahun lepas. Kami sebelum ini pernah bekerjasama sebagai rakan duet di pentas Gegar Vaganza. Tiba-tiba Naqiu merisik saya dengan melodi yang membuatkan saya terus jatuh cinta saat pertama kali mendengarnya,” kongsi Azmi.
Walaupun proses rakaman terpaksa ditangguhkan beberapa kali berikutan jadual kerja Naqiu yang padat, Azmi percaya bahawa setiap kelewatan itu pasti ada hikmahnya.
“Meskipun dah ‘disimpan’ agak lama, Satu akhirnya direalisasikan pada detik yang paling sempurna. Lebih istimewa, lagu ini telah terpilih sebagai lagu tema utama (Original Soundtrack) bagi drama rantaian 60 episod “Mencari Isteri Sempurna” yang telah bersiaran di saluran Astro Prima sepanjang bulan Ramadan lalu hingga kini,” jelasnya lagi dengan penuh rasa syukur.
Diterbitkan oleh syarikat rakaman Sony Music Malaysia, naskhah Satu boleh didengari di kesemua platform penstriman digital utama bermula 30 Januari 2026 yang lalu. – GIT MEDIA
