Tak Salah Lancar Lagu Raya Awal – Asal Berpada, Utamakan Kemuliaan Ramadan

Penyanyi Syamel berpendapat tidak ada salahnya apabila ramai yang memilh untuk melancarkan lagu raya lebih awal asalkan semua pihak berpada-pada dan mengutamakan kemuliaam bulan Ramadan.

Baginya, kemunculan lagu raya juga isyarat industri muzik kian berkembang dan memberikan peluang kepada semua yang melancarkan lagu berkenaan mendapat perhatian peminat.

“Tidak dinafikan Ramadan kali ini ramai artis melancarkan lagu raya. Ada yang berpendapat tindakan itu kurang sensitif atas alasan belum apa-apa lagi lagu raya sudah berkumandang di sana sini.

“Bagi saya, semua orang bebas buat apa sahaja asalkan menghormati perkara yang sepatutnya,” katanya pada majlis pelancaran single Suasana Raya bersama Ernie Zakri dan Syamel baru-baru ini.

Syamel berkata, ia seperti setiap penanyi mengambil giliran masing-masing untuk melancarkan lagu raya serta berpeluang mendapat perhatian peminat industi muzik.

“Jika semua lagu dilancarkan serentak, mungkin sukar nanti. Bagi saya tiada masalah asalkan penyanyi menghormati Ramadan ketika mempromosikan lagu,” katanya.

Syamel berkata, sudah menjadi rutin dirinya dan Ernie untuk mendengar semua lagu raya baharu yang dilancarkan.

“Ini boleh dianggap aktiviti wajib setiap tahun, iaitu menunggu lagu raya penyanyi lain dilancarkan,” katanya.

Ditanya sama ada gusar dengan penerimaan ramai terhadap lagu raya baru, Ernie memilih bersikap tenang dan positif.

“Alhamdulillah. setakat ini tidak timbul isu takut atau gusar. Kami cuba sehabis mungkin memberi yang terbaik. Biarpun tiada peraturan dalam menghasilkan lagu raya, namun, kena ada sedikit garis panduan,” katanya.

Mengulas mengenai lafu raya baru mereka berjudul Suasana Raya, Syamel dan Ernie teruja bergandingan untuk kali kedua bagi sebuah lagu raya.

Lebih istimewa, muzik video lagu itu menjalani penggambaran di Hong Kong dalam usaha mempromosikan pelancongan mesra Muslim di negara berkenaan. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *