Dari Anak Melaka Ke Pentas Seni Negara, Ayda Jebat Terima Bintang Cemerlang Melaka

MELAKA: Daripada seorang anak kecil yang pernah menyanyi di pentas negeri kelahirannya Melaka, kini artis serba boleh, Ayda Jebat kembali berdiri di bumi bersejarah itu sebagai seorang anak seni yang menerima penghargaan atas perjalanan dan sumbangannya sendiri.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 34, dikurniakan Bintang Cemerlang Melaka daripada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, menerusi Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh pada 26 Ogos lalu.

Bagi Ayda, lebih bermakna, penyanyi, pelakon dan komposer kelahiran Ayer Keroh, Melaka itu menerima BCM sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangannya dalam bidang seni yang mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana ia hadir daripada negeri kelahirannya sendiri.

Menerusi perkongsian di media sosial, pelantun Pencuri Hati itu turut menzahirkan rasa syukur dan menyifatkan penganugerahan berkenaan sebagai satu kenangan manis dalam kehidupannya sebagai anak jati Melaka.

Ayda mula dikenali selepas menyertai Akademi Fantasia musim kesembilan sebelum membina nama menerusi bidang nyanyian dan lakonan.

Sepanjang perjalanan seninya, Ayda tampil dengan deretan lagu popular termasuk Pencuri Hati, Temberang dan Mata, selain membintangi beberapa karya filem serta drama tempatan.

Pengurniaan BCM kali ini sekali gus menjadi satu lagi pencapaian bermakna dalam perjalanan kerjaya Ayda — bukan sekadar sebagai selebriti popular, tetapi sebagai anak Melaka yang terus membawa nama negeri kelahirannya menerusi dunia seni.

Dari Ayer Keroh ke pentas seni tanah air, akhirnya jasa dan perjalanan itu diraikan di tempat semuanya bermula. Tahniah Ayda Jebat. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *