Tak Sabar Nak Raya – Nabila Razali Pilih Nabil Ahmad

Nabila Razali mencipta kelainan apabila memilih untuk merakamkan lagu prekuel Raya Mana yang dilancarkan tahun lalu bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi lagu berjudul Tak Sabar Nak Raya.

Tak Sabar Nak Raya! ciptaan MFMF bersama Brendan Lim, Denise Chan, Foong Le Xin dan Asyraf Nasir pula menampilkan pelawak dan penyampai radio Nabil Ahmad.

Mengulas mengenai lagu prekuel itu, Nabila berkata Tak Sabar Nak Raya menggambarkan suasana raya dirinya sebelum bergelar isteri. Malah turut menampilkan kisah pertemuannya dengan Aizat Saha dalam muzik video, melengkapkan naratif raya yang pernah dikongsikan sebelum ini.

Menurut Nabila, lagu ini menonjolkan kemeriahan dan keterujaan menjelang Syawal – dari persiapan baju raya, balik kampung hingga kegembiraan bertemu saudara-mara. “Ramai yang tak sabar nak beraya, sama seperti tajuk lagu ini. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi mengingatkan kita tentang kemanisan raya itu sendiri,” katanya.

Rakaman vokal lagu ini mengambil masa empat jam dengan penampilan khas Haji Nabil Ahmad, manakala muzik video dirakam di Hulu Langat dengan suasana kampung tradisional. MV turut dibintangi Aizat Saha, MFMF dan beberapa pempengaruh media sosial termasuk Aggy, King Oyen, Adik Yusuf dan Shaffiq Erwin.

Tak Sabar Nak Raya! diterbitkan oleh Nabila Razali Entertainment bersama Sony Music Entertainment Malaysia serta Malika Entertainment & Management, dan boleh didengarkan di semua platform digital mulai 27 Februari 2026. Lagu ini juga dipilih sebagai runut bunyi rasmi mini siri 20 episod Di Sebalik Cahaya Raya yang akan bersiaran di Viu bermula 26 Februari. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *