KUALA LUMPUR: Hari ini mencatat satu pemandangan yang jarang berlaku dalam sejarah politik negara apabila tiga bekas Perdana Menteri Malaysia berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada hari yang sama bagi prosiding berasingan.
Mereka ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.Tiga nama besar yang pernah memimpin negara, duduk di kerusi tertinggi pentadbiran dan menentukan hala tuju Malaysia, kini dipertemukan dalam suasana yang jauh berbeza daripada zaman mereka berada di Putrajaya.
Najib, Perdana Menteri Malaysia keenam, hadir bagi meneruskan prosiding saman sivil berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).Muhyiddin pula yang pernah menjadi Perdana Menteri kelapan berada di mahkamah bagi prosiding kes berkaitan Program Jana Wibawa.
Manakala Ismail Sabri, Perdana Menteri kesembilan, berdepan pertuduhan berkaitan kegagalan mengisytiharkan aset seperti dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengaku tidak bersalah.Ketiga-tiga prosiding berkenaan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Namun kehadiran mereka di kompleks mahkamah sama pada hari yang sama tetap mencipta satu gambaran yang cukup simbolik.
Pernah suatu ketika dahulu, setiap kemunculan mereka diiringi protokol rasmi, pegawai kerajaan, barisan menteri dan kawalan keselamatan sebagai pemimpin nombor satu negara.Hari ini, suasananya berbeza.
Mereka hadir bukan untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet, bukan untuk menyampaikan amanat negara dan bukan juga atas urusan rasmi kerajaan.

Sebaliknya masing-masing hadir bagi melalui proses undang-undang.Politik memang tidak pernah menjanjikan bahawa seseorang akan terus berada di puncak.
Kuasa boleh datang dan pergi, jawatan boleh bertukar tangan, manakala perjalanan seseorang selepas meninggalkan pentadbiran mungkin berubah dalam sekelip mata.
Najib, Muhyiddin dan Ismail Sabri pernah berada di tempat yang hanya mampu dicapai oleh segelintir individu dalam sejarah negara.
Hari ini, nama mereka kembali menjadi perhatian.Cuma kali ini bukan dari Putrajaya.Bukan dari Dewan Rakyat.Tetapi dari sebuah kompleks mahkamah di ibu negara.
Barangkali inilah sisi politik yang paling sukar dijangka.
Kerusi Perdana Menteri mungkin hanya diduduki untuk satu tempoh, tetapi setiap keputusan dan perjalanan selepas meninggalkannya akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah negara.- GIT MEDIA
