April 23, 2025

Konsert Milenia Ditunda Ke 25 November, Tampil Persiapan Lebih Meriah

KUALA LUMPUR : Konsert Milenia yang dijadualkan berlangsung pada 30 September ini, ditunda ke 25 November depan demi menghormati sensitiviti semua pihak. 

Masih mengekalkan Stadium Malawati Shah Alam sebagai lokasi, penundaan itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan bersama dengan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pihak penganjur, Mission Sight Sdn Bhd menghargai pandangan dan nasihat dari pihak atasan Majlis Bandaraya Shah Alam tentang perkara ini.

Pengarah Urusannya, Jeffri Yaacob berkata, sudah menjadi tanggung jawab penganjur agar sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan dapat menjaga keharmonian semua pihak.

“Diharap dengan penundaan Konsert Milenia ke tarikh yang lebih sesuai dapat membuka ruang kepada lebih ramai lagi penonton untuk sama-sama memeriahkan acara ini bersama-sama dengan kami.

“Tambahan lagi, kami juga bercadang untuk mengadakan Muzik Milenia Food Festival selama empat hari berturut-turut di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam bermula pada 23 hingga 26 November 2023. 

“Pihak kami sedang merangka strategi untuk menyediakan pelbagai acara yang dibarisi oleh selebriti, TikTokers dan usahawan tempatan.

“Justeru itu, kami berbesar hati ingin mempelawa TikTokers, vendor-vendor makanan atau produk viral tempatan termasuk Indonesia untuk menyertai festival ini.

“Ia secara tidak langsung dapat mencapai objektif kami untuk mengukuhkan kerjasama di antara dua negara iaitu, Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu Jeffri berharap agar penundaan tarikh konsert ini juga dapat memberi peluang pemasaran lebih meluas kepada Konsert Milenia.

“Kami juga berharap agar dapat menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia ke negara ini. Siapa tahu Konsert Milenia dimasukkan ke dalam itinerari percutian hujung tahun mereka,” katanya.

Konsert Milenia juga bakal mencipta sejarah apabila menampilkan ratu dangdut Malaysia dan Indonesia iaitu Amelina, Ani Maiyuni, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-Klepek dan Rheyna Morena.

Penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima juga akan turut serta menjayakan konsert ini kelak.

Bagi menarik peminat-peminat muda, DJ Dugem popular iaitu, DJ ACE dan DJ Bob Arjuna turut diundang untuk memeriahkan lagi malam konsert dengan persembahan muzik berirama Dugem yang sedang menjadi trending di TikTok. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts