Sulong Cetus Simpati – Perjalanan Gajah Liar Di Jalan Raya Timur-Barat Sentuh Hati Ramai

KUALA LUMPUR: Kemunculan seekor gajah liar jantan dewasa yang dipercayai dikenali sebagai Sulong Chalil di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik-Jeli sejak beberapa hari lalu mencetuskan perhatian dan rasa simpati dalam kalangan masyarakat.

Beberapa rakaman yang tular di media sosial memperlihatkan Sulong berjalan bersendirian di bahu jalan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi terutama apabila gajah berkenaan dilihat mengalami kecederaan pada bahagian kaki hadapan kanan.

Memetik beberapa laporan media, menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Sulong mula dikesan berkeliaran di laluan berkenaan sejak 17 Ogos lalu dan pemantauan terhadap keadaan serta pergerakannya masih diteruskan.

Walaupun mengalami kecederaan, keadaan fizikal dan tingkah lakunya dilaporkan masih normal. Sulong juga masih mampu bergerak serta mendapatkan makanan seperti biasa, manakala luka pada kakinya semakin kering dan menunjukkan tanda pemulihan.

PERHILITAN turut mengambil tindakan menggiring Sulong kembali ke kawasan hutan. Bagaimanapun, gajah berkenaan dilaporkan masih kembali ke kawasan jalan raya menyebabkan operasi pemantauan dan menggiring diteruskan dua kali sehari pada waktu siang dan malam.

Dalam perkembangan sama, PERHILITAN juga mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan tahap sebenar kecederaan Sulong serta sama ada tindakan lanjut diperlukan.

Nama Sulong semakin mendapat perhatian selepas timbul dakwaan di media sosial bahawa gajah berkenaan berasal dari Chalil, Gua Musang sebelum pernah dipindahkan ke kawasan hutan di Gerik bagi mengurangkan konflik dengan manusia.

Turut tersebar dakwaan bahawa pergerakan Sulong di JRTB mungkin merupakan usahanya untuk kembali ke kawasan asal. Bagaimanapun, perkara berkenaan belum disahkan secara rasmi sebagai sebab sebenar pergerakannya dan wajar dilihat sebagai dakwaan yang masih berlegar di media sosial.

Di sebalik kisah Sulong yang menyentuh hati ramai, kemunculan gajah liar di JRTB sekali lagi membuka perbincangan mengenai konflik antara pembangunan, pengguna jalan raya dan habitat hidupan liar.

Laluan Gerik-Jeli sememangnya merentasi habitat penting gajah liar antara kawasan hutan di Perak dan Kelantan serta pernah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya pertembungan antara manusia dan hidupan liar.

Malah, sebanyak 2,316 kes kematian haiwan akibat dilanggar kenderaan direkodkan di Semenanjung Malaysia dari 2022 hingga Mei 2026, termasuk spesies dilindungi dan terancam seperti gajah Asia, tapir serta Harimau Malaya.

Sehubungan itu, pengguna JRTB khususnya berhampiran R&R Titiwangsa dinasihatkan memperlahankan kenderaan dalam lingkungan lima kilometer sebelum tiba di kawasan berkenaan dari kedua-dua arah.

Orang ramai juga diminta tidak berhenti, keluar daripada kenderaan atau melakukan sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan Sulong atau gajah liar lain.

PERHILITAN turut menasihatkan pengguna supaya tidak berhenti semata-mata untuk mengambil gambar atau merakam video kerana tindakan berkenaan bukan sahaja boleh mengganggu pergerakan gajah, malah berpotensi menjejaskan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna lain.

Buat masa ini, perjalanan Sulong mungkin masih menjadi tanda tanya.

Namun rakaman seekor gajah berjalan sendirian di laluan yang dikongsi bersama ribuan kenderaan setiap hari cukup untuk mengingatkan kita bahawa apabila habitat manusia dan hidupan liar semakin bertembung, mereka juga berhak diberi ruang untuk hidup dengan selamat. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *