25 Tahun Dalam Industri, Hafiz Hamidun Kembali Dengan ‘Salawat The Beloved’

KUALA LUMPUR: Selepas 25 tahun mewarnai industri muzik, penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun kembali dengan album terbaharu, Salawat The Beloved, sebuah karya yang mengangkat himpunan selawat dalam susunan lebih segar, sinematik dan kontemporari.

Diterbitkan oleh Sony Music Malaysia, album berkenaan cukup istimewa buat Hafiz kerana menjadi refleksi perjalanan seninya selain membawa kembali dirinya kepada karya yang dekat dengan jiwa.

“Selepas melalui pelbagai fasa dalam kerjaya, saya mahu menghasilkan sebuah karya yang kembali kepada sesuatu yang sangat dekat dengan jiwa saya iaitu selawat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW,” katanya dalam majlis yang diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur dan diuruskan oleh Shiha Zikir Empire di sini hari ini.

Mengangkat konsep cinematic devotional music, Hafiz mengekalkan identiti asal selawat yang sudah dikenali masyarakat, namun memperkayakannya dengan elemen orkestra, ambient, world music, percussion serta sentuhan moden.

Album berkenaan menghimpunkan 10 lagu termasuk Ishfa’ Lana, Salawat Badriyah, Cinta Rasul, Nuril Anwar, Salawat Syifa, Salawat Adnani, Salawat Jibril, Salawat Tafrijiyyah, Salawat Asyghil dan Ya Nabi Salam Alaik.

Menurut Hafiz, keseluruhan proses pembikinan mengambil masa kira-kira setahun bagi memastikan setiap lagu memiliki karakter tersendiri tetapi masih berada dalam satu dunia muzik yang sama.

Lebih menarik, beberapa video muzik album berkenaan menjalani penggambaran di lokasi antarabangsa termasuk Uzbekistan, Istanbul di Turki dan Al-Ula, Arab Saudi.

Di Uzbekistan, produksi menjelajah Samarkand, Bukhara, Tashkent serta kawasan pergunungan dengan sokongan Uzbekistan Tourism Committee.

Pemilihan lokasi berkenaan dibuat bukan sekadar kerana keindahan visualnya, tetapi juga kekayaan sejarah dan tamadun Islam yang selari dengan konsep album.

Hafiz turut menggayakan koleksi Teman oleh Siti Khadijah dalam projek berkenaan.

Bagi Hafiz, harapannya cukup sederhana, mahu Salawat The Beloved menjadi karya yang boleh didengar berulang kali dan mampu membawa ketenangan serta mengingatkan pendengar kepada Rasulullah SAW.

Selepas suku abad dalam industri, Hafiz melihat album ini bukan sekadar sebuah lagi karya dalam katalognya, sebaliknya sebagai sebahagian daripada legasi yang mahu ditinggalkan menerusi muzik.

Salawat The Beloved telah dilancarkan pada 21 Ogos 2026 dan kini boleh distrim serta dimuat turun menerusi semua platform digital. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *