Sammy Simorangkir ‘Peluk’ Peminat Malaysia – Alunan Magis Vokal Luar Biasa

Oleh: Indera

Ada sesuatu tentang suara Sammy Simorangkir yang tidak mampu dijelaskan sekadar dengan kata-kata. Ia sebuah instrumen yang punya ‘nyawa’, mampu merayap masuk ke celah-celah parut lama, lalu membalutnya dengan penuh kelembutan.

Malam Sabtu lalu di ZEPP Kuala Lumpur, suasana bukan sekadar bingit dengan sorakan, tetapi sarat dengan pengakuan emosi. Menerusi konsert solo berskala besar pertamanya, Sammy Simorangkir Live In KL Vol.1, lelaki pemilik vokal emas ini membuktikan bahawa pesonanya sebagai seorang storyteller belum pernah pudar, malah semakin matang dimakan waktu.

Membawa tema A Night Blooming with Roses & Love, pentas malam itu berubah menjadi sebuah taman rahsia di mana setiap kelopak mawar mewakili fasa perasaan penonton.

Memulakan bicara lewat segmen Emotion, Sammy tidak menunggu lama untuk membawa peminat hanyut dalam naskhah Cinta Putih dan Sedang Apa Dan Di Mana. Namun, saat segmen Hollow mengambil alih, ZEPP KL seakan bertukar menjadi ruang terapi paling intim.

Apabila melodi Luka Yang Luas dan Kau Harus Bahagia berkumandang, dapat dirasakan ada rintihan halus di kalangan penonton yang tewas dengan nostalgia. Benar kata Sammy dalam temu bualnya sebelum ini, beliau mahu setiap lagu menjadi medium untuk menyentuh hati—dan malam itu, setiap nota yang dilepaskan adalah sebuah pelukan hangat buat jiwa yang sedang lara.

Gambar: Indera

Momen paling ‘pecah’ pastinya saat Sammy membawa penonton pulang ke masa lalu menerusi segmen Tribute Legacy. Lagu-lagu seperti Tapi Bukan Aku, Mengenangmu, dan Aku Harus Jujur bukan sekadar dinyanyikan, tetapi dilaungkan bersama oleh ribuan suara yang seolah-olah melepaskan kerinduan yang tersimpan bertahun-tahun.

Melihat Sammy di atas pentas, kita tidak lagi melihat bekas vokalis sebuah band, tetapi kita melihat seorang penyanyi solo yang berdiri megah dengan jati diri yang sangat ampuh.

Beliau mengakui, meskipun pernah merasa tidak percaya diri untuk berdiri sendiri satu ketika dahulu, sokongan peminat di Malaysia adalah ‘hadiah Tuhan’ yang membuatkan beliau terus bertahan.

Kredit harus diberikan kepada Ideaatelier selaku penganjur. Sebagai acara sulung di bawah seliaan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ezuwan Ismail, produksi malam itu adalah sebuah penanda aras yang cukup tinggi.

Dari penataan cahaya yang dramatik oleh Eventech Solutions sehingga ke susunan muzik yang mewah, semuanya dirancang dengan teliti demi memberikan pengalaman yang menyeluruh. Bagi Ezuwan, kejayaan ini adalah satu permulaan.

“Kami mahu malam ini menjadi satu kenangan indah dan permulaan kepada perjalanan Ideaatelier,” ujarnya yang jelas berpuas hati dengan sambutan luar biasa daripada peminat.

Sesuai dengan janji Sammy untuk memberikan persembahan yang lebih bagus daripada versi CD, kualiti vokalnya malam itu adalah sebuah magis yang jarang-jarang dapat disaksikan secara langsung tanpa cacat cela.

Beliau menutup malam yang indah itu dengan lagu Bila Rasaku Ini Rasamu yang meninggalkan kesan mendalam di hati setiap yang hadir. Sammy Simorangkir bukan sekadar menghiburkan; beliau datang untuk meraikan kehidupan bersama peminatnya.

Sebagaimana katanya, beliau mahu terus menyanyi sehingga nafas terakhir, dan bagi mereka yang ada di ZEPP KL malam itu, mereka pastinya sedia untuk ‘menua bersama’ idola mereka ini. Luka yang luas mungkin masih berbekas, namun malam itu, segalanya terasa sedikit lebih tenang. Terima kasih, Sammy. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *