Ramai yang teruja, malah tak kurang juga ada yang sudah mengacu busana untuk digayakan menjelang dua hari sebelum konsert mega yang paling dinantikan iaitu Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.
Pastinya, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mengharapkan semuanya mendokan yang terbaik dan konsert berkenaan berjalan seperti apa yang sudah dirancang rapi.
Pada sidang media lalu, GIT Media sempat menemui ibu Siti Nurhaliza iaitu Siti Salmah Bachik atau lebih mesra disapa Mak Salmah bersembang mengenai anak kesayangannya itu.
“Semoga Siti cekal, Siti kuat, memang dia kuat, seorang yang rajin berusaha,” kata Mak Salamah ketika ditanya mengenai harapan dan doa untuk konsert mega berkenaan.
Mak Salmah berkongsi, Siti Nurhaliza seorang yang rajin berusaha dan tidak pernah langsung merungut letih.
“Dia rajin berusaha dan tidak ada rasa letih, dia tak pernah merungut letih, memang dia dah minat, dia minat dengan seni,” katanya dalam tutur bicara tertib dengan ukiran senyuman manis.

Mak Salmah juga berkongsi rasa bangga dan bersyukur dengan pencapaian anaknya itu serta memberitahu dirinya sentiasa berpesan agar Siti Nurhaliza sentiasa menjaga keperibadian dan tutur kata.
Berkenaan konsert yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, Siti Nurhaliza menjanjikan persembahan bertaraf antarabangsa dalam konsert terbesar dan pembuka tirai 2026 dengan jangkaan penonton seramai 63,000 orang.
“Saya juga bukan untuk menandingi sesiapa dengan konsert mega ini tetapi lebih kepada meraikan peminat yang menyokong selama 30 tahun dalam industri seni.
“Kapasiti konsert kali ini juga lebih besar berbanding di Arena Axiata yang memuatkan seramai 15,000 penonton kali ini, seramai 2,000 tenaga produksi juga terbabit dalam konsert mega ini,” katanya.
Berkongsi perasaannya pula, kata Siti dia mengakui tetap berasa gementar walaupun sudah sering mengadakan konsert berskala besar.
“Semakin dekat tarikh konsert, saya berasa semakin berdebar tetapi pada masa sama teruja untuk memberikan yang terbaik pada konsert mega nanti.


“Saya tak nak buat kerja ‘cincai’ sebab ini konsert sempena 30 tahun dalam industri seni pastinya saya dan ‘team’ mahu berikan yang terbaik mengikut kemampuan,” katanya.
Ditanya pemilihan artis jemputan pula, Siti berkata, barisan artis yang dipilih adalah mereka yang pernah bekerjasama dengannya.
Empat artis terbabit ialah penyanyi terkenal dari Indonesia iaitu Cakra Khan, Hafiz Suip, Noh Salleh dan anak saudaranya, Umairah sekali gus bakal menyerikan lagi persembahannya nanti.
“Saya akan menyampaikan rangkaian lebih 30 lagu termasuk secara medley dan duet bersama artis jemputan.
“Ada juga lagu yang beri kejayaan dan kenangan yang akan saya sampaikan menerusi empat segmen dalam durasi persembahan selama tiga jam itu,” katanya. – GIT MEDIA
