December 11, 2023

Fyna Jebat Kini Lebih Bebas, Serius Fokus Kerjaya Seni

SHAH ALAM : Penyanyi yang pernah dihambat kontroversi, Fyna Jebat mahu memberikan fokus terhadap kerjaya seninya dan mengakui kini lebih bebas untuk bergerak.

Malah, bekas isteri kepada bekas jurulatih dan pemain bola sepak Datuk Zainal Abidin Hassan ini, semakin yakin untuk mencuba cabang baharu dunia seni iaitu lakonan.

Tampil lebih segar dan ceria dengan imej rambut pendek, Fyna atau nama sebenarnya, Nur Shafynaz Jebat bersyukur keluarga serta rakan-rakan tidak jemu memberikan sokongan kepadanya.

Imej baharu Fyna Jebat. / Foto: Wan Rashid

“Alhamdulillah, semuanya baik sahaja. Tak ada apa yang saya nak kongsikan sebab saya mahu memberikan fokus kepada karier nyanyian.

“Kembali solo, ya lebih senang untuk saya bergerak. Keluarga dan kawan-kawan juga memberikan sokongan. Dorongan sebegitu memang penting untuk saya kembali memacu kerjaya.

“Tak kisah juga jika selepas ini ada yang mahu memberikan saya tawaran berlakon, boleh juga saya cuba,” kata penyanyi lagu Menangis Lagi itu.

Fyna ditemui selepas konsert mingguan Famili Duo di Studio Glenmarie, Shah Alam, Ahad lalu yang menyaksikan duo Haqiem Rusli dan Arif Bahran muncul juara mingguan.

Bercerita lanjut, Fyna yang juga adik kepada penyanyi Ayda Jebat, tidak menafikan dia masih bersahabat dengan bekas suaminya itu namun enggan mengulas panjang lebar.

“Syukur Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan sekarang. Saya meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Jika orang kaitkan saya dengan berita lama, saya tak boleh cakap apa-apa, saya pun tak mahu besar-besarkan lagi. Apa yang lepas tu, biarlah berlalu. Saya pun masih bersahabat dengan dia,” katanya.

Terdahulu, Fyna bergelar isteri kedua kepada Zainal dan perkahwinan mereka terlerai sekitar Mei lalu. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts