November 27, 2022

Rupa Dan Bakat Perlu Seiring

BANGI: Tidak dapat dinafikan, paras rupa yang cantik menjadi faktor utama dalam pemilihan pelakon di persada seni tanah air sejak dulu. Namun, paras rupa yang cantik semata-mata tanpa disertai bakat tidak cukup untuk seseorang pelakon menempa nama dalam bidang seni.

Itulah topik hangat yang dibincangkan dalam forum Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? yang berlangsung di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, baru-baru ini.

Forum ini dianjurkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan FSKK, UKM sempena menyemarakkan penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) KE 32 yang bakal berlangsung pada 2 Disember depan.

Barisan ahli panel yang diundang mengupas topik itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim; Ahli Jawatankuasa, Persatuan Penerbit Filem Malaysia yang juga Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam dan Seniwati veteran, Noor Kumalasari.

Majlis pelancaran forum disempurnakan Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa. Hadir sama, Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dan Penerbit A Aida Production, Datuk A Aida.

Prof Dr Md Nasir dan Datuk Yusof Haslam

Menurut Prof Dr Md Nasir, pemilihan pelakon yang cantik untuk watak utama sudah dipraktikkan sejak dulu.

“Antara pelakon yang cantik pada zaman dulu ialah Seniwati Maria Menado, Zaiton dan Roseyatimah. Pemilihan pelakon yang cantik dan kacak diperlukan untuk watak hero.

“Ada juga pelakon yang mewarisi bakat lakonan dari ahli keluarga seperti Noor Kumalasari dan Fauziah Datuk Ahmad Daud,” katanya.

Kata Md Nasir lagi, bukan saja paras rupa dan bakat tetapi sikap seseorang pelakon juga memainkan peranan penting untuk menjadi pelakon yang bagus.

Produser dan pengarah yang pernah mendapat jolokan ‘Six Million Dollar Man’, Datuk Yusof Haslam, berpendapat rupa dan bakat harus seiring untuk mendapat tempat dalam industri perfileman.

“Bercakap soal bakat dan sebagainya, bagi saya ia subjektif kerana semua manusia pun mahukan yang cantik. Kalau kita buat filem pun contoh filem Hindustan pun semua nak yang cantik tapi tanpa kita mengabaikan bakat.

“Sebagai pelakon dan pengarah, mata kita adalah kamera. Kita akan tengok cara pelakon itu berjalan dan bercakap. Isteri saya sendiri adalah penasihat dan penonton pula mewakili masyarakat. Jika tidak, saya akan menjadi pengarah yang syok sendiri.

“Menghasilkan filem juga ‘survival’ kerana buat filem bukannya mudah. Buat dua tiga filem bukannya semua berjaya kerana ia bagaikan satu perjudian,” katanya.

Mengimbas latarnya, Yusof berkata, dia bermula sebagai pelakon dan pengarah ketika meniti usia belasan tahun.

“Saya juga mengambil Noor Kumalasari untuk berlakon dalam filem pertama kerana terpikat dengannya yang juga seorang model yang cantik pada zaman itu.

“Bagi saya, bakat dan rupa penting untuk pemilihan pelakon. Bila isu ini diperdebatkan, saya ada menghubungi A Aida kerana saya sependapat dengannya kerana kami sama-sama bergelar produser,” katanya.

Yusof berkata, dia juga meminta pandangan isterinya yang sentiasa memberikannya motivasi untuk menghasilkan filem.

Saya menampilkan Awie dalam filem Pemburu Bayang dan filem itu juga berjaya.

“Manakala, dalam filem Sembilu pula, pilihan pertama saya adalah Aktres Sofea Jane tetapi dia menolak tawaran terbabit kerana mahukan watak lebih mencabar. Justeru, saya mengikut cadangan isteri untuk mengambil Erra Fazira kerana dia juga Ratu Cantik ketika itu.

“Selain Awie dan Erra Fazira, saya juga mengambil Ziana Zain untuk berlakon dalam filem terbitan sata kerana dia juga berbakat,” katanya.

Namun, kata Yusof, bukan satu jaminan dengan mengambil artris popular dan cantik, filem akan mendapat sambutan kerana ada juga filem yang gagal.

“Ada juga pelakon yang memiliki personaliti yang kurang tapi ada daya penarik seperti Seniwati Azean Irdawaty dan Allahyarham Nordin Ahmad yang tidak sekacak manapun.

“Justeru, saya menafikan pelakon yang kurang dari segi rupa tiada peluang dalam industri kerana pembahagian watak mengikut kesesuiann dan masing-masing ada peranan dalam menaikkan industri seni,” katanya.

Seniwati Veteran Noor Kumalasari pula berpendapat kecantikan paras rupa bukan saja dinilai dari segi luaran sebaliknya aspek dalaman untuk menjadi pelakon yang baik.

“Cantik juga mempunyai banyak maksud dan bagaimana kita melihatnya serta dari sudut apa? Sudah pasti yang paling penting, perangai dan sikap seseorang pelakon dalam menjalankan tanggung-jawab pada watak diserahkan.

“Pelakon perlu memiliki ‘attitude’ yang baik dengan menghormati pelakon lain dan pengarah di lokasi. Kalau hati kita cantik, Kalau hati cantik, jadi cantiklah orangnya,” katanya.

Noor Kumalasari berkata, bukan mudah untuk menjadi pelakon kerana dia perlu melakonkan watak orang lain depan kamera dan watak yang dilakonkan berbeza dengan diri sendiri.

“Saya bermula sebagai model, penyanyi dan kemudian pelakon. Semuanya bermula dengan tawaran dari Allahyarham Aimi Jarr yang ingin mencari pelakon yang memiliki rambut panjang.

“Arwah adalah kawan rapat arwah mak dan saya ditawarkan untuk berlakon dalam filem pertamanya tanpa sesi uji bakat. Saya juga mahu mencuba bakat selepas mendapat kebenaran dari arwah mak. Dengan bantuan guru lakonan dan Allahyarham Jins Shamsudin, filem itu berjaya.

“Ketika berlakon dengan Jins, saya perlu menangis sehingga jam 3 pagi untuk menjiwai babak dalam filem sedangkan saya baru saja lepas ketawa ketika itu. Menerusi bantuan ‘coach’ dan Jins, filem itu juga berjaya,” katanya.

Kata Noor Kumalasari lagi, dia juga tidak menggunakan nama besar kedua ibu bapanya untuk mendapat tempat dalam dunia seni.

“Sejak bergelar model lagi, saya memang memilih untuk berusaha sendiri dari bawah dan sampailah hari ini walaupun saya sudah jarang berlakon,”katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts