April 23, 2025

Govinda Anggap Ernie Zakri ‘Hal Hebat’

KUALA LUMPUR: Kumpulan dari seberang, Govinda menganggap peluang bekerjasama dengan penyanyi Ernie Zakri sebagai ‘hal hebat’ dek keperibadian dan kebolehan nyanyian yang dimilikinya.

Komposer yang juga ahli kumpulan itu, Ade Nurulianto mengakui Ernie mempunyai mutu suara yang sangat baik selain sikap profesional yang wajar dipuji.

“Sebetulnya bila kami mendapat tahu lagu ini bakal menggandingkan kerjasama bersama Ernie kami gembira lebih-lebih lagi diberitahu Ernie Zakri seorang penyanyi Malaysia yang bagus.

“Sepanjang bekerja dengan wanita ini kami akui dia sangat menyenangkan serta mempunyi budi pekerti yang baik. Suara juga luar biasa membuatkan lagu ini ke peringkat lebih baik,” katanya,

Ade paling kanan

Ernie dan Govinda dipertemukan dalam jalinan kerjasama menerusi lagu duet Hal Hebat yang telah terlebih dahulu dipopularkan oleh kumpulan terkenal dari Indonesia itu.

Hal Hebat mencipta fenomena apabila ditonton lebih 40 juta peminat di YouTube dan menjadi antara lagu popular untuk dinyanyikan semula, terutama selepas penyanyi, Cakra Khan turut membawakan kembali lagu tersebut.

Tambah Ade, Ernie mampu memberikan nafas dan nyawa kepada sesebuah lagu secara semulajadi menerusi kemampuan penghayatan serta vokalnya.

“Pitch Ernie sangat bagus. Tetapi paling penting, dia menyanyi dari hati. Kita dapat rasa keikhlasan dia ketika menyanyi. Itu yang membezakan dia dengan penyanyi lain.

“Ernie umpama berlian. Di mana pun dia berdiri, dia adalah berlian. Saya sendiri mengagumi karakter vokalnya,” kata Ade yang juga pemain gitar kumpulan itu.

Hal yang sama juga diakui oleh ahli kumpulan lain iaitu Ifan Hadari (vokal), Yosafat Luki Marendra (bass) dan Ritchie Jeje Ismail (drum).

Dalam pada itu, Ernie berkata, dia terbuka untuk bekerjasama dengan Ade yang pernah mencipta lagu Terbaik Bagimu nyanyian penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Memang saya ada berbincang dengan Ade. Teringin juga dia menghasilkan sebuah lagu yang mampu mencerminkan kematangan saya dalam industri.

“Saya juga bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan Govinda yang sangat profesional dan mempunyai jalur muzik sangat indah. Pengalaman menyanyi bersama mereka juga sangat bermakna dalam karjaya nyanyian saya,” kata isteri kepada penyanyi Syamel ini.

Hal Hebat nyanyian Govinda dan Ernie sudah mendapat tontonan lebih tiga juta di YouTube dan mendapat reaksi positif daripada peminat kedua-dua buah negara. – GayahIsTyping

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts