September 13, 2024

Kereta, Beg Mewah Bukan Ukuran Kejayaan Usahawan

PETALING JAYA: Amalan sesetengah usahawan yang memilih untuk bergaya mewah bukanlah satu ukuran kejayaan mereka dalam perniagaan. 

Malah perkara itu tidak sepatutnya menjadi keutamaan lebih-lebih lagi bagi mereka yang baharu menceburkan diri serta sedang membina perniagaan yang diusahakan.

Hal itu dipersetujui oleh Presiden Annems Leadership Solutions Sdn Bhd, Datuk Faridah Hanim Haron.

 

“Itulah, sesetengah yang ibu lihat ada yang suka bergaya dengan kereta dan beg mewah. Sebenarnya itu bukan ukuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis graduasi 121 usahawan Bumiputera yang berjaya mengikuti program Business Sustainability Solution (BSS) baru-baru ini anjuran akademi itu.

Faridah Hanim yang lebih mesra disapa Ibu Hanim ialah tokoh korporat yang berpengalaman luas termasuk pernah berkhidmat dengan syarikat gergasi Petronas.

Dikenali sebagai guru serta pakar dalam bidang kepimpinan dan pengurusan organisasi, Ibu Hanim berkata fokusnya kini mencungkil lebih ramai usahawan tempatan terutamanya golongan Bumiputera untuk memberikan pendedahan ilmu pembangunan organisasi serta kepimpinan yang tepat.

 

“Puluhan tahun dalam bidang koperat membawa saya melihat bagaimana ramai jenama-jenama anak tempatan kita tidak bertahan lama. 

“Benar saya boleh memeluk tubuh dan meneruskan kehidupan yang selesa tanpa bersusah payah tetapi hati seorang ibu ini berbeza, saya anggap usahawan yang ini seperti anak-anak saya.  

“Jadi apa yang boleh saya berikan adalah ilmu pembangunan organisasi serta kepimpinan untuk memantapkan lagi perniagaan,” katanya.

Ditanya antara kesilapan sesetengah usahawan pada matanya, beliau berpendapat ada yang melihat perniagaan  hanya ‘marketing’ di mana sebenarnya ilmu perniagaan itu terlalu luas dan melalui penguasaan ilmu.

Baginya, dengan ilmu yang betul boleh membantu usahawan memastikan jenama perniagaan itu kekal relevan untuk tempoh masa yang panjang.

“Bersama saya pendekatanya berbeza, data yang ada pada setiap syarikat ini akan digunakan untuk mengukur perkembangan dan tahap pemahaman usahawan dalam melaksanakannya,” katanya.

Ibu Hanim bersama orang kanannya.

Melihat keperibadian dan tutur kata yang penuh keibuan, Ibu Hanim mengakui meletakkan kasih sayang sebagai asas dalam perjuangan membantu anak didiknya.

Bukan hanya itu, setiap usahawan didikkannya juga sentiasa diterapkan nilai kasih sayang dan saling membantu antara satu sama lain terutamanya mereka yang memerlukan.

“Manusia yang berjaya adalah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain, dan saya mahu ini difahami mereka. Saya mahu lebih ramai orang kaya untuk membantu orang lain. 

“Sebab itu saya tidak mencari kuantiti dalam kelas tetapi kualiti. Saya tidak lihat bagaimana ilmu yang ingin disampaikan ini boleh dilakukan secara besar-besarkan, sebab itu dalam setiap batch hanya akan terdapat 20 atau 30 syarikat sahaja,” katanya.

Sementara itu bercakap mengenai majlis graduasi yang meraikan seramai 121 usahawan Bumiputera yang berjaya mengikuti program BSS, kesemua mereka pemain industri dengan perniagaan jutaan ringgit mernagkumi pelbagai bidang perniagaan termasuk kosmetik, barangan dan makanan. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts