November 6, 2024

Aina Abdul : Bukit Bintang Done, Bukit Jalil Next! 

KUALA LUMPUR : Selepas menakluk laluan sibuk Bukit Bintang baru-baru ini, penyanyi berbakat besar Aina Abdul terus optimis memburu jajahan baharu di Bukit Jalil pada November ini. 

Aina bakal muncul dengan barisan pemuzik orkestra dan band pimpinan pengarah muzik tersohor, Mac Chew bakal iringi seleksi 33 buah lagu hits selama dua jam setengah pada konsert ‘A Night With Aina Abdul’ 3.0 (‘ANWAA’) 18 November depan di Axiata Arena Bukit Jalil.

Edisi kali ini dibawakan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) yang turut menyaksikan Aina Abdul Entertainment (AAE) selaku penganjur bersama.

Lebih 10,000 penonton dijangka memenuhi ruang konsert dengan harga tiket lebih rendah berbanding konsert sebelum ini.

“Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan PRIHATIN bagi menganjurkan konsert solo berskala besar di lokasi yang cukup gah seumpama ini. 

“Oleh kerana konsert kali ini merupakan kesinambungan daripada dua konsert yang diadakan sebelum ini, saya sepasukan telah bekerja keras untuk membuat perancangan rapi bagi memastikan agar penganjuran kali ini adalah edisi yang terbaik pernah dianjurkan,” katanya.

Lebih menarik, konsert kali ini turut menyokong inisiatif untuk menggerakkan misi mengumpul dana dengan menyalurkan sebahagian daripada hasil jualan tiket kepada Tabung Kasih PRIHATIN khusus bagi kegunaan dan manfaat pendidikan pelajar yang tidak berkemampuan dalam kategori B40 dan asnaf di peringkat institut pengajian tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, berkata penganjuran Konsert ‘ANWAA’ 3.0 ini bakal memberi manfaat buat pelajar di menara gading menerusi dana yang akan dikumpul hasil jualan tiket.

“Saya teruja kerana diberi peluang untuk menganjurkan konsert ini yang bukan hanya bersifat komersial semata-mata tetapi turut menekankan konsep ‘Berhibur Sambil Beramal’.

 

“Kita juga akan membawa pelajar bertuah untuk sama-sama menonton konsert ini menerusi tajaan pihak korporat yang membeli tiket,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan konsert ANWAA’ 3.0 akan mula dijual dengan harga RM98 (Silver), RM188 (Gold), RM258 (Platinum), RM288 (VIP), RM388 (VVIP) dan RM488 (MIP) bermula 15 September 2023 di www.ainaabdul.my – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts