December 8, 2024

Saya Turun Kosong – Khatijah Tan Selami Roh Saadiah

KUALA KANGSAR: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik 2002 ini pastinya mempunyai alasan tersendiri apabila buat kali pertamanya, Khatijah Tan mengakui dia melangkahkan kaki ke set penggambaran Filem Saadiah tanpa sebarang persediaan.

Hal itu dikongsi Khatijah yang juga mesra disapa Mak, ketika kunjungan ke lokasi penggambaran filem berkenaan di Kampung Tengah, Sauk, Perak baru-baru ini.

“Saya tak pernah berlakon begini. Saya tidak pernah datang berlakon dengan tangan kosong dan tanpa persediaan,” katanya memulakan bicara.

Membawakan watak Saadiah pada era 2012, Khatijah mengakui dia melihat lakonannya kali ini satu cabaran besar apabila melakonkan watak sebenar yang sememangnya wujud.

“Susah bila kita lakonkan watak ini sebab orang akan bandingkan saya dengan Saadiah yang sebenar. Lebih-lebih lagi mereka yang mengenalinya.

“Jujurnya bila saya dapat skrip daripada pengarah Ellie Suriaty dan saya baca, air mata saya mengalir deras dan menusuk ke jiwa kerana cerita ini sangat besar.

“Saya beritahu Ellie saya tak buat persiapan. Selalunya saya akan bersedia dan buat kajian pada watak saya , tapi kali ini saya datang kosong,” katanya.

Khatijah menambah, dia menyerahkan kepada pengarah supaya membentuk dirinya menjadi Saadiah dan tidak mahu penonton melihat dirinya sebagai Khatijah Tan.

Ternyata baginya, Ellie berjaya menggeluarkan apa yang dimilikinya meskipun itu julung kali bekerja dengan pengarah wanita berkenaan.

“Saya hargai Ellie, dia ada apa yang pengarah lain tidak ada. Dia panda gali dan korek apa yang pelakon itu miliki.

“Jujurnya saya banyak bawa watak sedih, tapi kali ini sangat halus. Saya menjiwai watak seorang wanita yang memiliki rasa cinta mendalam pada suaminya dan perasaan rindu yang sangat indah pada masa sama menyakitkan,” katanya.

Malah kongsi pelakon yang sudah membintangi hampir 50 buah filem dan ratusan drama ini berkata, suaminya sendiri memuji lakonannya selepas menonton babak ketika dia mengayuh basikal.

“Saya sendiri menjayakan babak itu sehingga bulu roma saya naik. Suami susah nak puji, kali ini dia akui yang dilihat bukan Khatijah Tan tetapi Saadiah,” katanya menguntum senyum.

Khatijah berkata, pengalaman menjayakan filem itu memberikan sesuatu yang baharu buat dirinya dalam aspek penghayatan watak dan emosi kerana nakshahnya yang menuntut komitmen tinggi daripada semua pihak terlibat.

Saadiah diinspirasikan daripada kisah balu anggota polis yang berbasikal menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Perak selama 37 tahun dek terkenangkan kasih sayang Allahyarham suaminya, Alias Nik Daud.

Alias meninggal dunia pada 1975 dalam serangan hendap pengganas komunis sewaktu bertugas sebagai jurupandu bot di balai berkenaan.

Filem terbitan Pencil Pictures & Records milik Datuk Ayu Puteh itu turut dilakonkan oleh Azrel Ismail (Alias) dan Kaka Azraff (Saadiah 1975) dijangka akan ditayangkan di pawagam pada tahun hadapan sempena sambutan Hari Polis atau Hari Pahlawan. – Gayahistyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts