PETALING JAYA: Tiada apa yang diharapkan insan seni ini kala menggapai usia 73 tahun baru-baru ini selain terus sihat dan dilimpahi dengan kasih sayang.
Bagi komposer dan penerbit album S. Atan dengan keadaan hanya mampu melihat sebelah mata, dia sentiasa bersyukur kerana terus diberikan bakat berkarya dalam persada muzik.
“Saya bersyukur terus sihat, paling saya terharu apabila ramai yang hadir meraikan hari lahir saya malah ada yang datang jauh dari Singapura, Indonesia dan Brunei bagi meraikan bersama-sama.
“Paling terharu apabila ramai artis yang setuju menyanyi sebagai hadiah pada malam sambutan hari lahir ini,” katanya kala ditemui pada sidang media di majlis sambutan hari lahir tajaan usahawan Datuk Sri Rohaizat Musa di Hotel Royal Chulan Damansara.
Tambah S. Atan atau namanya sebenarnya Hashim Said, dia juga berterima kasih kepada Rohaizat yang sudi menaja sambutan hari lahir itu.
“Saya memang terharu dan terima kasih saya ucapkan kepada beliau juga kepada semua yang hadir. Ini sangat bermakna buat saya,” katanya.
Malam sambutan hari lahir berkenaan bagaikan majlis reunion artis hebat termasuk Datuk Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim, Sanisah Huri, Fredo, Noor Kumalasari, Fauziah Ahmad Daud, Othman Hamzah, Ramlah Ram, Ramziela, Datuk DJ Dave, Uji Rashid, Hail Amir, Datuk Siti Fairuz, Datuk Ramli MS yang juga anak buah kepada S. Atan dan ramai lagi.
S. Atan dalam pada itu sempat menitip pesan supaya generasi baharu terus menagkat lagu dan irama Melayu yang ternyata terus malar segar dan kekal di hati pendengar muzik tempatan.
“Tak payah terlalu moden sangat kalau lagu yang dihasilkan tidak bertahan. Apa guna hanya sekejap sahaja,” katanya.
Sementara itu, isterinya Norizan Yeob, 58, berbesar hati atas sambutan dan bersyukur kerana dikurniakan suami yang baik dan bertanggungjawab.
Berterima kasih atas sokongan daripada semua pihak terhadap suami tercinta, Norizan terharu kerana sikap positif yang dimiliki S Atan membuatkan ramai yang menyenangi personaliti figura hebat itu dari dahulu hingga kini.
“Sebagai isteri sudah tentulah saya melihat kesungguhannya untuk terus membahagiakan keluarga sebagai suatu anugerah. Bagaimanapun, ada satu sikap yang saya nampak ialah beliau ni suka gembirakan kawan-kawan sekeliling.
“Pernah dia pinjamkan duit, demi untuk kesenangan orang lain. Memang dia nak sangat membahagiakan kawan beliau. Sampaikan ada ketikanya saya sendiri rasa pelik dengan suami sendiri.
“Kadang-kadang saya ada cakap kepadanya, tak boleh begini. Nanti orang akan fikir lain. Cuma itulah, dia suka tengok orang lain bahagia. Tapi kami tidak pernah terfikir pun untuk dapat balasan daripada apa yang dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Rohaizat yang mengakui peminat nombor satu S.Atan bercadang menjalinkan kerjasama bagi mengajurkan konsert khas karya S. Atan.
Beliau berkata perancangan ke arah itu sudah ada dan butiran lanjut akan diperhalusi.
“Kita akan berbincang dan kita mahu beri peluang agar semua orang tidak kisah yang tua atau muda dapat peluang mendengar sendiri karya hebat S.Atan.
“Saya mahu ia menjadi satu konsert yang besar, hebat dan kenangan bermakna buat semua pihak,” katanya.
S. Atan kala ditanya mengenai hal itu, memberikan ukiran senyuman bermakna dan menerimanya dengan tangan terbuka.
“Sama-sama kita berdoa agar semua perancangan dipermudah,” katanya.
Pada 14 Mei lalu, Konsert Cahaya Aidilfitri – A tribute to S. Atan dianjurkan khas bagi menghargai jasa lebih empat dekad S Atan dalam mewarnai industri muzik tempatan menerusi barisan lagu raya yang menggamit memori. – Gayahistyping
You may also like
-
Angkara Gigitan Ziana Zain – Pontianak 200 kg Mangsa Cinta Tiga Segi
-
FYP Untuk Siapa Yang Makan Cili – Drama Band Tampil Konsert Sulung
-
Suria FM Terus Jadi Pilihan – Jelajah Suria Kuasa 2 Tawan Empat Lokasi
-
Dedah Kisah Untold Story – Wajib Tonton Teater Dang Anum Versi The Redholah
-
Dari Pelakon Kini Penyanyi – Taiyuddin Dan Uncure Lahir Karya dan Persembahan Buat Palestine