December 8, 2024

Tiada Istilah Terlambat – Aiden Daniel

KUALA LUMPUR: Bakat baharu dunia nyanyian, Aiden Daniel, 30, tidak melihat dirinya  terlambat untuk mencari tapak serta membina nama dalam industri seni tempatan.

Menerima didikan dan semangat daripada komposer, Zul 2By2, Aiden atau nama sebenarnya, Muhammad Amirul Abdul Rahim berkata, dia tidak kisah digelar ‘budak-budak baru nak up’ (BBNU) memandangkan pembabitannya dalam muzik lokal masih ‘hijau’.

“Sebelum ini saya sudah banyak kali usaha, misalnya membuat persembahan di majis-majlis tertutup, makan malam, sertai pertandingan karaoke dan sebagainya. Cuma mungkin pada ketika itu saya belum jumpa orang yang betul yang boleh buka jalan untuk saya ‘masuk’ dalam dunia nyanyian secara komersial.

“Alhamdulillah saya bertemu dengan Abang Zul yang membuka peluang buat saya. Saya akan cuba apa yang mampu sebab memang minat menyanyi sejak dulu lagi. Saya juga percaya dengan rezeki. Soal cepat atau lambat, ia sudah disusun cantik olehNya. Tinggal lagi kita yang perlu usaha,” katanya.

Mempertaruhkan single pertama yang berjudul Sampai Masanya, Aiden optimis mahu memberikan yang terbaik.

“Meski sudah berumur 30 tahun, bagi saya ia masih belum lewat. Single ini sebenarnya sudah ada penyanyi yang sepatutnya rakam tapi tidak jadi. Kemudian bila kami berjumpa atas urusan kerja, beliau cadangkan saya untuk nyanyikan single tersebut kerana sesuai dengan ton suara.

“Alhamdulillah kos rakaman dan pelancaran ditanggung pihak pengurusan saya, Timur Empayar Management. Harapnya lagu ini akan diterima baik,” katanya yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, beberapa bulan lalu.

Bertuah kerana isteri turut memberi sokongan penuh terhadap kerjayanya ketika ini, Aiden bagaimanapun memilih untuk tidak melakukan gimik ‘bukan-bukan’ demi status dan nama baik.

“Ada juga terfikir nak viralkan diri, tapi kalau boleh biarlah dengan cara yang betul. Tak mahulah hanya sekejap saja, buat apa. Lebih elok kita cipta nama secara perlahan-lahan untuk terus kekal berada dalam industri.

“Samalah juga kalau berdepan dengan peminat, kita kenalah profesional. Isteri pun okay dia memahami minat saya. Alhamdulillah setakat ini baik-baik sahaja,” katanya lagi. – Gayahistyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts