Bukan hanya watak yang dilakonkan dalam filem-filemnya menyeramkan, malah kehidupan dan kematian ‘Ratu Filem Seram Indonesia’ – Suzanna atau nama sebenarnya, Suzanna Martha Frederika Van Osch Nathalia turut diselubungi misteri.
Gayah masih ingat lagi filem-filem seram lakonan Suzanna seperti Penanggalan, Bernafas Dalam Lumpur, Beranak dalam Kubur, Sundel Bolong, Ratu Ilmu Hitam, Malam Jumat Kliwon, Santet, Ratu Buaya Putih dan filem terakhirnya, Hantu Ambulance pada 2008. Bagaimanapun, filem Sundel Bolong mengangkat darjatnya sehingga lebih sebagai ‘Suzanna Sundel Bolong’.

Bintang lagenda kacukan Jawa-Manado-Jerman-Belanda itu dilahirkan pada 14 Oktober 1942 dan meninggal dunia pada 15 Oktober 2008 pada usia 66 tahun pada jam 11.15 malam di rumahnya di Kota Magelang.
Beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Griloyo, Jawa Tengah.
Kematiannya disebabkan penyakit kencing manis yang dideritai sejak 30 tahun.
Bagaimanapun, sumber mendakwa, Suzanna mati disebabkan dibunuh secara senyap selepas minum susu yang menjadi amalannya setiap malam.
Suaminya, Clift Andro Natalia atau dikenali Clift Sangra (suami kedua selepas suami pertama yang juga seorang pelakon, Dicky Suprapto meninggal dunia) melihat Suzanna menarik nafas dalam-dalam selepas minum susu, kemudiannya terkulai layu.

Konflik berlaku apabila keluarga mendakwa Clift merancang pembunuhan Suzanna. Pada 2005, Clift pernah bergaduh dengan anak Suzanna menerusi perkahwinan pertama, Kiki Maria dan suaminya, Abriyarso Prihanto Boyho.
Kononnya, ia berpunca daripada pembahagian harta yang diwasiatkan Suzanna kepada Kiki.
Dalam satu kejadian, Clift bergaduh dengan mereka sehingga tertembak Abriyarso.
Kedua-dua pihak, Clift dan Abriyarso disabitkan kesalahan dengan tuduhan melakukan penganiayaan terhadap diri masing-masing.

Hakim Pengadilan Negeri Kota Magelang menjatuhkan pada 14 November 2005 dengan menembak menggunakan peluru getah hingga mencederakan bahagian perutnya.
Abriyarso pula dibebaskan daripada tuduhan kerana terbukti tidak melakukan penganiayaan terhadap mertuanya itu.
Di sini, timbul pelbagai persepsi mendakwa Clift mengorbankan Suzanna demi membolot harta. Clift dituduh menggunakan khidmat pembunuh upahan dengan bayaran bernilai 50 juta Rupiah bagi menghapuskan Suzanna.
Kematian terus diselubungi misteri apabila tiga pembantu Suzanna iaitu Yusman, Wahyu Rifai dan Bayu Ponco Nugroho dalam perbicaraan Pengadilan Negeri Kota Magelang yang membicarakan kes tembak Clift terhadap dan Abriyarso pada pada 6 Mac 2006.
Mereka mengaku Clift pernah mengarahkan mereka membunuh Suzanna yang masih berstatus sebagai isterinya.

Sidang berkenaan membahaskan pada saat Clift dan Suzanna mengunjungi rumah Abriyaro dan Kiki di Armada Estate Kramat Magelang Utara.
Kehadiran Clift dan Suzanna menjadi panas dan berakhir dengan penembakan oleh Clift terhadap Abriyarso.
Yusman mendakwa Clift menyuruhnya membunuh Suzanna sekitar Mac dan April kerana hubungan pasangan suami isteri selama 22 tahun tidak lagi harmonis.
Bagaimanapun, Yusman menolaknya meskipun dijamin kehidupannya oleh Clift apabila dirinya dipenjara.
“Saya angkat tangan dan mengabaikan dan tidak sanggup membunuh. Saya menjarakkan diri dengan Clift,” katanya dalam satu kenyataan dari Antaranews.
Yusman mengaku sempat memberi nasihat untuk menyelesaikan masalah rumah tangga Clift dan Suzanna.
Kerana menolak perintahnya, Clift meminta pembantu lain untuk membunuh Suzanna.
Yusman memberitahu Kiki pernah menghubunginya untuk mengesahkan arahan pembunuhan ibunya itu selepas mendapat tahu daripada seorang lagi pembantu, Bayu.
Bayu membantu Kiki berpindah ke Jakarta dari Magelang ketika itu. Bayu beberapa kali disuruh Clift untuk membunuh Suzanna, tetapi enggan melakukannya.
Saat permintaan pertama, Bayu terpaksa bersetuju kerana takut melihat Clift memegang pistol.
Bagaimanapun, permintaan seterusnya, Bayu menolak. “Saya tidak mahu kerana masalah membunuh. Sewaktu kali pertama disuruh, Clift membawa pistol sehingga saya takut.
“Saya tidak bercerita kepada Ibu Suzanna kerana bimbang tidak dipercayai. Saya cerita kepada Yusman dan nyata, Yusman juga menerima arahan sama,” katanya.
Wahyu yang juga anak Yusman turut diminta Clift membunuh Suzanna, namun seperti bapanya, Wahyu menolak.
Clift bagaimanapun dalam perbicaraan berkenaan menyangkal kebenaran pengakuan tiga pembantunya yang menjadi saksi.
Lebih menimbulkan keraguan apabila anak kandung dan keluarga Suzanna tidak mengetahui kematian seniwati itu hingga jenazahnya dikebumikan. Kiki hanya mendapat informasi kematian ibunya menerusi media massa.
Apabila didesak, Clift memberitahu beliau hanya mengikut wasiat yang terkandung dalam surat yang Suzanna berikan. Beliau tidak mahu keluarga mengetahui kematian dan datang ke majlis pemakamannya.
Clift menutup rapat kediamannya, menutup lampu rumah dan tidak mengizinkan keluarga Suzanna memasukinya.
Bagaimanapun keluarga terutama Kiki tidak percaya dan mendakwa Clift membunuh ibunya kerana mahu membolot harta namun Clift menafikan sekeras-kerasnya.
Tuduhan menjadi panas semula apabila Clift berkahwin lagi dengan mengadakan majlis secara besar-besaran serta berbulan madu mengelilingi Eropah selepas setahun kematian Suzanna.
Kiki mohon siasatan dilakukan semula dengan melakukan bedah siasat ke atas mayat ibunya tetapi Clift mengugut akan menyaman sekiranya kematian Suzanna disebabkan sakit, bukan dibunuh.
Lagi pula, dua doktor peribadi Suzanna mengesahkan kematiannya disebabkan penyakit kencing manis yang dideritainya sejak 30 tahun.
Selepas 10 tahun Suzanna bersemadi, Clift akhirnya mendedahkan isi surat wasiat yang ditulis bintang yang diperkenalkan menerusi filem Darah Dan Doa pada 1950 itu pada 26 Mei 2004.
Menerusi program TV, Rumpi pada 19 Disember 2018, Clift mendedahkan isi surat wasiat Suzanna kepada hos program, Feni Rose.
Surat rasmi yang ditulis Suzanna berisi permintaan cukup mengejutkan. Suzanna nyata menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumiannya kepada suami.
Suzanna tidak mahu keluarga masuk campur dalam urusan pengebumiannya. Dia juga tidak mahu kematiannya itu menjadi bahan tontonan umum.
“Bahawa agar supaya nanti saat meninggal dunia tidak dilaporkan kepada keluarga dan orang lain. Saya mahu suami saya, Clift Andro Natalia untuk memenuhi segala urusan yang berkenaan dengan pengebumian diri saya.
“Kerana itu, saya mohon kepada keluarga saya atau sesiapapun tidak usah campur tangan dalam urusan pengebumian saya.
“Cukup urusan pengebumian saya atau kematian saya ditangani oleh suami saya. Juga, saya nyatakan bahawa saya tidak berkenan kematian saya diadakan upacara keluarga, apa lagi jenazah saya sampai diletakkan dalam peti mati dan dipertontonkan,” ujarnya Clift ketika membacakan surat wasiat isterinya.
Di akhir suratnya, Suzanna menyampaikan wasiat berhubung peninggalan untuk anaknya, Kiki. Bintang filem legenda itu tidak mewariskan Kiki dalam bentuk apapun. Suzanna menyebutkan bahawa Kiki tidak berhak atas harta peninggalannya.
“Untuk anak saya, Kiki Maria, dengan ini saya menyatakan bahawa dirinya tidak berhak mewarisi harta kekayaan peninggalan saya yang masih ada pada saat saya meninggal dunia.
“Baik benda bergerak, mahupun benda tetap seperti deposit-deposit mahupun rumah di lokasi dan apapun wujudnya.”
Meskipun begitu, Clift mendedahkan Kiki sudah mendapatkan haknya seperti rumah dan elaun setiap bulan daripada Suzanna.
“Sudah saya jelaskan, soal wasiat juga sudah saya buka. Jadi bukan bererti anaknya, Kiki tidak dapat harta yang diwariskan. Dapat, dapat rumah, dapat kereta dan wang setiap bulan. Itu sudah diberikan,” tegas Clift.
Hubungan Suzanna dan Kiki dikatakan tegang ketika ibunya berkahwin dengan Clift. Ia kerana Kiki mendakwa bapa tirinya mata duitan.
Menurut program TV itu, Clift menceritakan hal sebenar semasa kejadian pergaduhan dalam keluarga.
Semasa pergaduhan, Clift menembakkan senjata api berisi peluru ke arah atas. Ia dilakukan supaya Kiki dan suaminya tenang. Clift mengatakan dia tidak tahu apa tindakan harus dilakukan ketika itu.
Clift mendakwa, beliau mahu menghentikan serangan Kiki dan suaminya yang mengacukan pisau.

Akhirnya, Clift menembak kaki suami Kiki. Walaubagaimanapun Clift terbukti bersalah atas kes penembakan terhadap menantunya itu.
Selain konflik keluarga, misteri juga menyelubungi kematian Suzanna. Clift mendakwa, Suzanna masih pulang ke rumah selepas tiga hari kematiannya. Beliau dilihat berdiri berhampiran pintu depan rumahnya dengan mengenakan baju berwarna cokelat, sambil mengucapkan selamat tinggal.
Selain itu, Clift pernah ternampak Suzanna duduk di sofa ruang tamu rumahnya memegang remote televisyen sambil mulutnya membebel mengkritik cerita yang ditontonnya.

Clift seperti tidak sedar Suzanna sudah meninggal dunia dan terus memasuki bilik, tetapi hanya teringat isterinya sudah mati ketika dalam bilik.
Lebih menyeramkan, Clift pernah ternampak kelibat Suzanna sedang menyikat rambut dalam bilik khas Suzanna. Bintang filem itu memiliki bilik khas untuk bersendirian. Tiada siapa dibenarkan masuk ke bilik khas berkenaan ketika Suzanna masih hidup.
Bilik khas itu digunakan untuk bermeditasi (bertapa), bukan hanya berhari-hari dan berminggu-minggu malah Suzanna pernah berbulan-bulan tidak keluar daripada bilik berkenaan.
Clift juga mendakwa hingga kini (sumber YouTube), dia mendengar bunyi seperti orang mengetuk dinding. Bunyi pernah dilakukan Suzanna semasa hidupnya untuk meminta sesuatu, dia akan ketuk-ketuk dinding.

Selain bayangan dalam rumah, Clift terlihat kelibat Suzanna di luar rumah iaitu tempat bawah pokok yang digunakan Suzanna untuk bertapa.
Mengikut Clift, Suzanna pernah menuntut ilmu daripada seorang guru. Walaupun sudah tamat ilmu, tetapi Suzanna sering mendengar suara-suara ghaib yang menyuruh bermeditasi.
Ketika hayatnya, Suzanna selalu bertapa ke suatu tempat dengan cara merendamkan badan dalam air. Air berkenaan didakwa mempunyai khasiat tertentu. Ramai pengunjung datang ke situ untuk mengambil air untuk dijadikan ubat, tetapi tempat berkenaan dikatakan keras.
Clift turut mendakwa ternampak Suzanna duduk atas kubur sewaktu beliau datang menziarahi makamnya pada siang hari.
Seorang pembuat nisan mendakwa, Suzanna pernah datang kepadanya sambil tersenyum ketika kedengaran ura-ura Clift mahu berkahwin.
Selepas kejadian itu, pembuat nisan berkenaan bertemu dengan pakar paranormal. Mengikut pakar paranormal, Suzanna minta sampaikan hasrat mahu bertemu Clift.

Mereka sudah beberapa kali bertemu pembantu Clift untuk sampaikan pesanan berkenaan, tetapi Clift tidak dihiraukan.
Hinggakan, roh Suzanna pernah merasuk seseorang di kuburnya. Mereka merakam perbualan pakar paranormal dengan orang yang kena rasuk. Dan pita rakaman turut dihantar kepada Clift.
Bagaimanapun, Clift enggan mempercayainya, malah menganggap tidak mungkin orang yang sudah mati akan kembali. Jika Suzanna mahu menyampaikan sesuatu, isterinya datang dalam mimpinya.
Penduduk Magelang, Jawa Tengah pula gempar selepas dua minggu kematian Suzanna. Mereka kononnya ternampak kelibat Suzanna dalam bentuk Sundel Bolong. Ada mendakwa pernah ternampak Suzanna berjalan atas bumbung rumahnya, selain lepak di depan rumah tempatnya selalu bertapa.
Hingga kini, misteri kematian Suzanna masih belum terungkap, malah kejadian aneh masih menyelubungi Clift dan isteri baharunya.
