September 23, 2023

AJL33: Melodi Perlu Kekal

Segalanya boleh berubah pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 33. Pastinya ia bergantung kepada persembahan peserta yang bertanding.

Penerbit Eksekutif AJL 33, Nurhul Huda Khalid berkata, meskipun penjurian terhadap lagu dibuat sebelum malam kemuncak, peratusan yang dinilai pada malam akhir, membabitkan antaranya persembahan dan vokal mampu mengubah kedudukan sesebuah lagu itu.

Nurhul Huda Khalid – Foto Azrul Rafie

“Impak dan peratusan yang dinilai pada malam kemuncak AJL juga memainkan peranan yang besar.

“Segalanya boleh berlaku mengikut apa yang dipersembahkan oleh penyanyi yang menyampaikan lagu bertanding,” katanya.

Menyentuh kencenderungan sesetengah penyanyi dan komposer yang bertanding memilih untuk menggubah semula susunan muzik lagu mereka ketika dipersembahkan pada malam akhir nanti, Nurhul Huda berkata ia tidak ada masalah.

Beliau berkata semua itu adalah bergantung kepada kreativiti masing-masing dan mereka mendapat khidmat nasihat pengarah muzik Aubrey Suwito.

“Apa yang penting ialah mengekalkan melodi asal jika mereka mahu membuat susunan baharu. Apapun janganlah sehingga bunyi lagu lain.

“Seperti yang saya katakan tadi, mereka boleh mendapatkan khidmat pengarah muzik kami yang pastinya lebih arif mengenai apa yang sesuai atau sebaliknya,” katanya.

Nurhul Huda turut mengakui, persaingan sengit dapat dilihat berdasarkan senarai lagu yang bertanding pada kali in.

Sementara itu, beliau berkata segmen persembahan akan menampilkan artis popular dari genre muzik rap dan hip hop termasuk kumpulan Nico.

Mengenai penjualan tiket yang dibuat julung kalinya, Nurhul Huda berkata ia bertujuan memberikan peluang kepada mereka yang betul-betul berminat untuk hadir dan menonton sendiri secara langsung di Axiata Arena.

“Kita mahu beri peluang kepada mereka yang saban tahun mahu datang dan menonton AJL di stadium. Syukur kerana sambutan sangat menggalakkan,” katanya.

AJL 33 membariskan 12 lagu yang bakal berentap pada 3 Februari , jam 9 malam hanya di TV3.

Finalis AJL33 – Azrul Rafie

12 lagu yang bakal berentap mengikut giliran persembahan pada malam kemuncak AJL33 nanti ialah:

  1. Luluh – Khai Bahar
  2. Jatuh Bangun – Haqiem Rusly menampilkan Aman Ra
  3. Kau Pun Sama – Syamel
  4. Tak Pernah Hilang – Amylea & Kaer
  5. Hajat – Hael Husaini
  6. Nisan Cinta – Siti Nordiana & Jaclyn Victor
  7. Di Matamu – Sufian Suhaimi
  8. Bunga- De Fam
  9. Semakin – Siti Sarah Raissuddin
  10. Bunga – Ara
  11. Haram – Hael Husaini & Dayang Nurfaizah
  12. Sampai Bila – Misha Omar

Gayah memang tak sabar nantikan AJL33 sebab membariskan nama-nama hebat yang bersaing dengan barisan pelapis industri muzik tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts