Terpalit dengan sapaan kontroversi membuatkan bintang yang sedang mekar ini berdepan dengan pelbagai komen serta kritikan.
Afifah Nasir akui, bukan fasa mudah jika diimbas kontroversi yang melanda dirinya dua tahun lalu dengan penyanyi lelaki yang juga suami orang.
Mahu melupakan semua kisah silam itu, pelakon yang semakin mendapat tempat di hati peminat ini nekad untuk mengelak diri dari sebarang kontroversi.

“Fokus utama saya ialah bidang seni dan saya enggan melayan perkara yang boleh memberikan impak tidak baik kepada saya.
“Bagi saya banyak yang perlu saya usahakan termasuk memastikan bakat lakonan saya terus diterima dan diberikan watak yang lebih mencabar,” katanya kepada Gayah.
Di sebalik semua itu, adik kepada pelakon Anzalna ini turut bersyukur kerana terus mendapat sokongan daripada keluarga, orang tersayang dan peminat untuk terus melebarkan kerjaya lakonannya.

“Saya gembira dan bertuah kerana mempunyai orang disekeliling yang sentiasa menyokong.
“Untuk peminat khasnya terima kasih kerana menyokong tanpa jemu,” katanya yang mula dikenali menerusi drama Pengantin Jatuh Dari Langit.
Afifah berkata dia juga manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan, namun akan berusaha memastikan perjalanan kerjaya seninya lancar dan dihindari dari kontroversi.
Dia bakal muncul dalam drama Isteri Abang Macho dan Jodoh Annisa.
Gayah percaya kalau Afifah komited, dia mampu jadi pelakon pelapis yang baik.