Asal pecel ayam dan pecel lele (ikan keli penyet) dari Indonesia tetapi kini menjadi antara makanan kegemaran ramai di Brunei, Singapura dan negara ini.
Pecel lele yang nama asalnya pecek, ertinya lauk yang dipenyet dan dimakan dengan sambal, dilengkapkan lagi dengan salad, timun, tauhu dan tempe goreng serta semangkuk kecil sup, ia mampu memikat selera semua orang.

Rencah untuk sambalnya ialah cili, tomato , ikan bilis , belacan , bawang merah , bawang putih dan perahan air asam jawa .
Gayah suka dengan menu ini kerana ia agak ‘ringan’, tidak ‘berlemak’ seperti kebanyakan menu tempatan di mana nasi dimakan dengan gulai lemak, kari atau rendang. Jadi bagi Gayah, makan ayam atau keli penyet tidaklah membuatkan perut rasa terlalu ‘berat’ atau ‘penuh’.
Banyak restoran ayam penyet di sekitar Kuala Lumpur malah dekat rumah Gayah pun ada tiga empat restoran yang menjualnya, tinggal lagi yang mana paling sedap sehingga membuatkan kita ‘teringat-ingat’.
Baru-baru ini, Gayah cuba pecel lele di Saujana Impian, Kajang. Nama kedai makan itu pun ‘Pecel Lele’. Apa yang boleh Gayah katakan, bila Gayah dah rasa pecel lele di kedai itu, Gayah tak cari kedai lain dah. Lain macam dia punya sedap.

Ikan keli digoreng garing, rangup dan Gayah sanggup ‘tebalkan’ muka minta ‘extra’ tauhu dan tempe goreng.
Hiasan dalam kedai itu juga ‘memikat mata’. Berkonsepkan kafe dengan hiasan sederhana memberikan rasa selesa dan nyaman. Terdapat sudut mainan untuk kanak-kanak. Ibu bapa tak perlu risau kerana pintu cermin menghalang mereka berlari keluar ke jalan raya, jadi bolehlah makan dengan tenang.

Hebatnya menu dari negara jiran ini sehingga Catherine Ling dari CNN Travel pernah mengambarkan ayam penyet disenaraikan sebagai antara 40 jenis makanan yang perlu ada dalam hidup.