January 23, 2025

Anak setinggan bantu orang Melayu

Apabila terbayang wajah ibu bapanya memasuki pasar raya besar tetapi hanya sekadar melihat, tidak mampu membeli, hati aktor dan usahawan, Datuk Rosyam Nor terasa sebak.

Gayah percaya bukan hanya keluarga Rosyam, ramai lagi orang Melayu berdepan dengan masalah yang sama, hidup miskin dalam ibu kota.

Hari ini, kita mampu berbangga apabila ‘Hero Malaya’ itu sudah bergelar usahawan berjaya apabila membuka pasar raya, ST Rosyam Mart di Setiawangsa sejak awal Jun lalu.

Malangnya, niat dan matlamat aktor kelahiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur itu membuka pasar raya yang barangannya lebih murah dari pasar borong disalah ertikan.

Rosyam dituduh dipergunakan dan menjadi ‘barua Cina’ apabila dua rakan kongsinya, Datuk Raymond Ho Cheng Hann dan adiknya, Alan Ho Cheng Yek, adalah berbangsa Cina.

Selain itu, ST Rosyam Mart bekerjasama dengan Sri Ternak Group tetapi tidak mempunyai saham dalam syarikat berkenaan. Pemilik Sri Ternak Group, Ho Ah Chai adalah bapa kepada Raymond dan Alan.

“Saya anak setinggan dan pernah hidup susah. Saya melakukan pelbagai kerja untuk membantu orang tua, kerja kedai runcit pun buat.

“Niat saya membuka pasar raya, ST Rosyam Mart untuk membantu masyarakat, khasnya orang Melayu mendapatkan barangan yang lebih murah daripada pasar borong.

“Saya tahu ramai yang semakin berkira-kira mahu berbelanja dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya.

Akuinya, dia mewujudkan ST Rosyam Mart demi memberi peluang kepada orang ramai berbelanja di ruang selesa dengan harga yang mampu beli.

“Alhamdulillah, saya cukup gembira melihat pelanggan masuk dan keluar ST Rosyam Mart dengan wajah tersenyum. Mereka membeli barang yang banyak, tetapi kurang keluar duit,” katanya.

ST Rosyam Mart mendapat ‘serangan’ pesaing yang cemburu dengan kejayaan pasar raya berkenaan hingga menimbulkan provokasi.

Maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut ditularkan sehingga saham Rosyam sebanyak 10 peratus dalam syarikat dipertikaikan.

Lebih memberi tekanan apabila isu perkauman ditimbulkan, selain pemilik Sri Ternak Group, Ho Ah Chai dituduh sebagai pengedar dadah.

“Memang ada yang cemburu, malah tangan ajaib juga wujud untuk menjatuhkan ST Rosyam Mart hingga mencetuskan isu perkauman dalam laman sosial. Mereka mempersoalkan, kenapa membeli barangan Cina, tidak ke pasar raya Melayu?

“Apa yang saya usahakan bukan untuk saya menjadi kaya raya, tetapi saya mahu membantu masyarakat. Kami mahu memberikan barangan murah berbanding pasar raya lain, itu tidak cukup bagus ke?

“Soal rakan kongsi, mana-mana syarikat besar pun memiliki rakan kongsi pelbagai bangsa dan kaum. Saya tidak nampak ia sebagai masalah dalam perniagaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts