Pasal makan, orang Malaysia sanggup mencarinya di mana saja. Terutama pada hujung minggu, lupakan lelah bekerja dan keluar dari hiruk pikuk kota.
Dah lama Gayah menetap di kota tetapi selera Gayah tidak pernah berubah. Cokodok (jemput-jemput pisang) tetap bertakhta di hati.
Lempeng pisang, memang Gayah suka sangat. Kalau Gayah bercuti ke Pulau Pangkor, ada seorang ‘brother’ jual lempeng pisang. Jika terlambat, terpaksalah beratur panjang, ‘mat salih’pun suka makan lempeng ‘brother’ tu. Harga pun murah, sekeping RM1.50.
Tak sempat pergi ke sana, baru-baru ini Gayah ke premis seni milik pengarah Mamat Khalid di Tanjung Malim.
Sarang Art Hub (Sarang) adalah pusat seni setempat diusahakan Mamat dengan anak-beranaknya. Sarang sudah jadi rumah kedua mereka sekeluarga.
Asalnya kata Mamat, premis itu adalah Rumah Rehat Tanjung Malim yang terbiar sepi. Memang dia bercadang untuk mencari tempat bagi memberi ruang kepada belia setempat untuk menzahirkan bakat seni mereka lalu dengan ‘restu’ Majlis Daerah Tanjung Malim, premis itu dibangunkan semula.
Mamat sanggup berhabis wang ringgit untuk melihat Sarang ‘hidup’ lalu daripada sekadar menjadikannya premis kesenian, dia membuka Cafe Sarang yang menghidangkan makanan tempatan dan ‘western’. Percaturan Mamat tepat sekali kerana premis itu sekarang meriah dengan kunjungan orang ramai.
Kebetulan masa itu Mamat dan kru produksinya sedang melakukan penggambaran filem baru iaitu Rock 4. Jadi sambil makan, mereka mengambil peluang bergambar dengan pelakon filem itu.
Di sudut tepi premis diletakkan sampan motor yang digunakan Hussin (lakonan Datuk Awie) dalam filem Hantu Kak Limah.
Gayah memang puas hati dapat makan lempeng kat sana. Lempengnya tak besar sangat, dibakar garing, dicecah dengan sambil tumis. Memang mengasyikkan.
Ada juga mi goreng pak jabit, nasi goreng kampung dan macam-macam lagi menu pilihan.
Tetapi yang paling ‘special’ ialah Sarang’s Signature – Salmon Laut Dalam, Sarang Cheezy Chicken dan Lamb Goulash. Jika anda ke sana, mesti kena rasa. Harga jangan ‘takut’ sangat berbaloi.
Tak susah nak cari Sarang kerana ia dah jadi ‘trademark’ di Tanjung Malim. Kedudukannya pun tak jauh dari laluan tol.
Yang ‘bestnya’ sebelah Sarang ialah jalan keretapi, jadi terdengarlah keretapi lalu. Hiasan Sarang juga sangat unik kerana setiap dinding penuh dengan poster filem Melayu lama dan baru. Kaki mesin jahit dijadikan kaki meja. Banyak lagi barang nostalgia di premis itu. Pada satu rak, Mamat meletakkan trofi yang pernah dimenanginya dalam bidang perfileman.
Jadi, apa lagi, jom kita menjamu selera di Sarang dan untung-untung dapat berjumpa artis popular di sana.
Sarang dibuka dari jam 11 pagi hingga 11 malam, tutup pada Khamis.
You may also like
-
Brik Raikan Ulang Tahun Pertama – Perkenal 21 Beg Baru Pelbagai Warna
-
Precious Of Malaysia Ke Kota Paris – Istimewa Kehadiran Sultanah Nur Zahirah Di Malam Gala
-
Precious Of Malaysia Iktiraf Pereka Muda – Cabar Empat IPT Bersaing Dengan Pereka Sebenar
-
Terjemahan Patriotik Fazura – Lancar 12 Rekaan Tudung Khas Sempena Merdeka
-
Labur RM600,000 Lahirkan Liquffe – Nikmati Kopi Tanpa Bancuh