Sawadee Ka…percutian Gayah sudah sampai di Pattaya. Bandar yang lesu pada siang hari tetapi ‘membara’ dan ‘memberahikan’ kala sang suria mula melabuhkan tirainya.
Setiap lorong di Red Light Area, Pattaya Walk Street bertukar ‘panas’. Sekali lagi anda kena ‘berlapang’ dada tetapi bagi Gayah, apa yang terhidang di depan, itu hanyalah sekadar pengalaman.
Lenguh kaki – pusat urut ada di sepanjang jalan. Gadis dalam ‘kotak cermin’ melambai menggamit pelanggan.
Meskipun sepanjang jalan itu sangat sibuk dengan aneka rupa manusia daripada seluruh pelusuk dunia, acara malam yang terkadang di luar batasan tetapi ‘daerah merah’ itu tidak bahaya. Anda masih boleh ‘berjalan-jalan’ dengan selamat.
Kepada yang bercuti bersama keluarga dan anak kecil, Pattaya masih ‘bertimbang rasa’ kerana pulau pelancongan terkenal di dunia itu tidak meminggirkan ‘tetamu-tetamunya’ yang lain
Anda boleh ke Big Bee Farm iaitu ladang lebah terbesar di Thailand. Di pintu masuk, anda di sambut lanskap yang menarik dan terus dibawa ke ‘kelas lebah’ – belajar untuk mengenali hasil serangga itu. Madu yang berkualiti mampu ‘menjaga’ kesihatan anda.
Tetapi Gayah paling suka ke Sheep Farm Pattaya. Ingatkan ladang kambing yang biasa-biasa tetapi ia adalah taman tema yang dihiasi arca biri-biri popular kesukaan Gayah iaitu Shaun The Sheep. Gayah jadi kanak-kanak sekejap dan paling lucu melihat sepasang biri-biri berbulu panjang menutupi mukanya. Gayah rasa macam nak ‘ikat’ bulunya itu. Anak-anak boleh bagi makan kambing dengan rumput yang dijual pada harga 20 baht.
Tarikan pelancongan lain, Taman Botanikal Tropikal Nong Nooch – ditanam bunga-bungaan antara yang tercantik di dunia dan taman itu menang banyak anugerah. Di sana juga ada teater mempersembahkan pertunjukkan kebudayaan yang Gayah kategorikan bertaraf antarabangsa dan gelanggang pertunjukkan gajah. Siapa ‘lebih’ berani boleh bergambar dengan harimau, kadar bayaran 100 baht.
Pasar terapung, Four Regions Floating Market, Long Neck Karen Village dan Silverlake Vineyard, antara destinasi yang melengkapkan percutian anda di Pattaya.
Seni bina bangunan di Silverlake ala gaya Eropah. Ia adalah kebun anggur pertama dan satu-satunya di Timur Thailand. Terletak bersebelahan Gunung Laser Buddha.
Lanskap taman yang cantik dan tasik membiru, pasti suasana akan lebih nyaman jika berkunjung ke sana pada sebelah petang. Gayah sampai di sana ketika sang suria‘tegak’ di atas kepala Gayah. Tetapi Gayah tetap tegar mengabadikan beberapa keping foto di taman itu yang khabarnya turut menjadi lokasi penggambaran drama dan filem serta rakaman kenangan bakal mempelai.
Banyak lagi destinasi menarik menanti anda di Pattaya dan Gayah sudah berura-ura nak ke sana lagi. Jom kita ke sana!
You may also like
-
Buka Puasa Hari-Hari Dengan Durian Musang King – Buffet Ramadan Hotel Tenera Terus Jadi Pilihan Ramai
-
Lebih 80 Hidangan Citarasa Nusantara – The Venue X Achara Saji Juadah Berbuka Berbaloi
-
Survival Seni Sissy Iman – Lupakan Tas Tangan Mewah Demi Sebuah Impian
-
‘King Of Grill BBQ Buffet Dinner’ – Selera Premium Berpatutan Di The Pearl Kuala Lumpur
-
Magika Seorang Melly Goeslow – Kepuasan Total Seisi Panggung