April 23, 2025

Nasi Bergaduh di Tempat Makan Lesehan

Bagaikan satu trend dan kegilaan selera makanan pedas di negara ini. Pelbagai nama timbul dengan nuansa selera Indonesia seperti sambal geprek, sambal kicap dan sambal gesek.

Paling menarik, sebuah restoran di Seri Kembangan menjanjikan keunikkan tersendiri dengan tawaran 22 jenis sambal dengan menu masakan sambal lain.

Restoran yang dinamakan Tempat Makan Lesehan (TML) ini, memulakan operasi sejak Mac tahun lalu.

Pemiliknya Nurul Hana binti Mohamed Nasir berkata, idea untuk membuka restoran dengan konsep ini timbul setelah mengetahui keunikkan restoran-restoran di Yogyakarta, Indonesia yang menyajikan pelbagai jenis sambal dari temannya yang baharu melancong ke sana.

Antara jenis sambal yang ditawarkan termasuklah sambal kedondong, sambal udang, sambal paru, sambal tubruk serta sambal gobal gabul.

TML turut menyajikan nasi dengan sambal penyet serta sambal belado dengan pilihan seperti ayam, keli, tilapia, daging serta puyuh.

Menu yang pernah tular daripada restoran ini ialah Nasi Bergaduh dan Nasi Berdendang.

Nasi Bergaduh ialah hidangan yang dilengkapi ayam dan daging bersama sambal penyet dan sambal belado.

Nasi Berdendang pula gabungan ayam bersama ikan keli dengan limpahan sambal kedondong dan sambal penyet.

Dia memberitahu, sambal yang ditawarkan mempunyai rasa yang berbeza dengan sambal yang lazimnya dijual di Malaysia.

“Kebanyakkan sambal yang ada di jual di Malaysia adalah sambal sunda. Di sini kami tawarkan sambal jawa Yogya. Sambalnya rasa pedas manis,” tambahnya yang mengusahakan restoran itu bersama abangnya, Kamarul Anuar Mohamed Nasir.

Jika anda menjamu selera di sini, jangan terkejut bila lihat tiada kerusi disediakan sebaliknya hanya meja sahaja.

Ini melengkapi memori Yogya yang terkenal dengan konsep lesehan atau bersila. Ha, dari situlah lahirnya nama lesehan.

Jadi tunggu apa lagi, jom singgah dan bawa Gayah ke Tempat Makan Lesehan di alamat 201-G Uptown Kinrara, Lestari Perdana 7/2, Seri Kembangan.

Gayah nak gaduh dengan Nasi Bergaduh. Diet? Esoklah.

Kontributor: K. Anuar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts