‘Jika nak ‘buat duit’ kita kena buat filem sendiri’, kata Mamat Khalid kepada Datuk Awie yang terkilan dengan pemberian bonus daripada penerbit filem Hantu Kak Limah (HKL).
Filem itu yang ditayangkan pada Ogos lalu berjaya meraih kutipan RM38 juta. Awie dan Delimawati selaku watak utama filem itu tidak puas hati dengan bonus yang mereka dapat kerana tidak setimpal dengan kerja keras dan komitment mereka.
Sebagai pengarah filemnya pula, Mamat memahami ‘ragam’ industri dan syarat daripada pihak pemamer, jadi Mamat mengambil sikap berkecuali.
Katanya, pada minggu pertama sebanyak 50 peratus kutipan tiket diberikan kepada pemamer dan minggu kedua naik kepada 60 peratus. Tegasnya, kutipan RM38 juta itu hanya gah pada mata saja.
“Saya faham keadaan kedua-dua pihak (pemamer dan pelakon). Saya beritahu Awie, selagi kita harap pada orang, kita dikuis dengan kaki saja.
“Kalau saya nak bising-bising pun tak guna, lebih baik buat filem sendiri. Dalam kontrak pun tak ada cakap pasal bonus tetapi apabila Awie cakap dia kecewa, orang dengar kata dia.
“Tetapi Awie ok dan apabila dia balik dari umrah, kami akan terbitkan filem sendiri berjudul Jejaka Gedik,” katanya.
Ujar Mamat lagi, sudah berbelas tahun dia bekerja dengan orang dan ceritanya sama saja tetapi sebagai pengkarya, Mamat akan terus berkarya.
“Perkara yang lain itu saya tolak ke belakang. Saya cuma panik kalau Kak Intan (isteri) ‘bising’. Jika dia tak bising, saya diam saja,” katanya sambil ketawa.
Jelas Mamat, sebaik saja Awie balik dari umrah, dia akan mencari dana dan penggambaran akan dimulakan awal tahun depan.
“Kami pun nak bonus juga’, kata Mamat.
Awie sebagai penerbit dan Mamat pengarah. Mereka juga akan berlakon sebagai watak utama. Seorang lagi gandingan mereka ialah Ropie yang berlakon cemerlang dalam HKL.
“Kami bertiga akan menggunakan nama kami sendiri dan tentu penonton nak tahu sama ada ia kisah benar. Jadi tunggu filem itu siap.
“Ia adalah ‘road movie’, perjalanan dari Kuala Lumpur ke utara tanah air menaiki van. Kami temankan Ropie yang katanya nak pergi berubat, rupanya dia nak pergi menikah seorang lagi,” katanya.
Mamat ditemui di lokasi penggambaran filem terbaru arahannya, Rock 4 di Tanjung Malim. Filem itu terbitan Primeworks Studios.
You may also like
-
Sekuel Konsert Galau The Finale -Tampilkan Ungu, Rossa, Nidji, Fabio Asher, dan Exists
-
Babah Kisah Realiti Kasih Sayang – Ingatan Agar Hargai Seorang Bapa
-
Hanya Satu Nora Ariffin – Kekal Dalam Liga Penyanyi Terbaik Negara
-
Suria FM Kekal Barisan Penyampai – Catat Peningkatan 292 Ribu Pendengar
-
Ayda Jebat Terus Jadi Pilihan – Ada Jenama Kekal Sejak Sedekad