Setahun hatinya sakit apabila dibohongi. Penat lelah bekerja pada bulan Ramadan tidak berbayar seperti melakukan kerja sia-sia dan sukarela.
Itulah yang dilalui pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin dan Tiada Arah Jodoh Kita, Aprena Manrose, 25.
Gayah dengar anak bongsu kepada pasangan selebriti, Allahyarham Rosnah Mohd Noor dan bekas penyanyi dangdut, Iwan sudah lama menahan sabar.
Lebih setahun ditipu, Aprena semakin berani menyuarakan penipuan yang didakwa dilakukan oleh seorang produser yang juga pengarah filem.
Gayah mendapat tahu pengarah filem berkenaan pernah mengarahkan beberapa filem sebelum ini.
Filem epik yang menjalani penggambaran di Pasir Salak, Perak, pada Ramadan tahun lalu dihentikan selepas 70 peratus proses penggambaran selesai. Bagaimanapun, sehingga kini, filem berkenaan belum selesai penggambaran.
“Saya tidak menerima walau sesen pun bayaran yang sepatutnya menjadi hak saya sebagai pelakon. Dunia dan akhirat saya tidak akan menghalalkannya.
“Saya kecewa sangat apabila ditipu. Berbulan-bulan saya ‘makan hati’ memikirkannya hingga tiada semangat mahu bekerja.
“Sudahlah teruk bekerja, buat kerja sia-sia dan percuma pula. Bayangkan penggambaran filem epik ini dijalankan pada bulan puasa,” katanya.
Sepupu kepada pelakon Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu berkata, dia terpaksa ponteng puasa selama beberapa hari ketika melakukan babak berat.
“Saya tidak malu mengakui, saya ponteng puasa kerana melakukan babak berat yang memerlukan saya melompat, berguling dan berlari setiap hari.
“Saya kena masuk dalam lumpur, gua, sungai dan mandi air daripada pili bomba ketika penggambaran dijalankan. Itu belum lagi babak lari dalam hutan yang memerlukan saya memijak duri.
“Memang teruk saya dikerjakan, tetapi saya tidak berkira kerana saya sukakan watak mencabar,” katanya.
Aprena berkata, lebih menyakitkan hati pengarah berkenaan melarikan diri seminggu sebelum Aidilfitri.
“Kru produksi sudah angkat kaki dan meninggalkan lokasi penggambaran seminggu sebelum Syawal.
“Saya bersama Aman Graseka, Wilma Muhammad, Zarina Zainuddin dan Cikgu Siti Hajar tinggal di inap desa selama tiga hari tanpa melakukan apa-apa kerja.
“Akhirnya, pengarah meminta kami berkumpul di tempat penginapan berkenaan, kononnya mahu menjelaskan bayaran sebelum kami pulang beraya.
“Bagaimanapun, si pengarah cabut lari pada malam berkenaan. Hingga hari raya pengarah masih berdiam diri. Sedihnya, saya tidak berbelanja raya pada tahun berkenaan,” katanya.
You may also like
-
Ibu Scha Al-Yahya Meninggal Dunia – Awal Kongsi Kehilangan Ibu Mentua di IG Story
-
Festival of Drums and Percussion Malaysia 2024 – Pentas Pemuzik Terbaik Negara
-
Wawa Belanja 100,000 Unit Sunscreen Kanak-Kanak – Lancar Sempena Hari Lahir Anak
-
Janji Hadiah 25 Tahun Dayang Nurfaizah – Turut Dedikasi Buat Iman Imran
-
Jangan Pandang Belakang 2 – Jin Tak Perlu Jaga Manusia