Kalau soal makan, Gayah memang cerewet. Gayah bukanlah pakar sangat bab memasak ini tetapi Gayah adalah ‘pakar rasa’.
Gayah tak berapa nak faham bila peniaga makan masak ‘ala kadar’, asam garam entah ke mana. Kalau masak lemak dah jadi macam masak air.
Buat kuih pula, dah lah tak ‘berasa’, boleh baling ke dinding. Berniagalah dengan ikhlas. Gayah yakin dengan konsep, jangan kejar keuntungan untuk satu hari saja tetapi kita mahu hari-hari orang datang beli kuih kita dan keenakan masakan kita menjadi buah mulut orang. Mendapat rezeki yang berkat, hati kita pun lapang.
Gayah tak nak bebel panjang kerana Gayah nak cerita pasal warung makan yang terletak dalam kebun getah, nun di sebelah Utara tanah air.
Kalau Gayah balik kampung, mesti Gayah singgah. Warung itu bukan dalam hutan tetapi letaknya di tepi jalan raya. Jadi, jangan risau, tak ada ‘pak belang’ yang mengendap masa kita makan.
Kalau sesiapa yang berasal dari Manong atau Kuala Kangsar, Perak, mesti tahu tempat ini. Kawasan itu namanya Kampung Bendang Panjang.
Menu ‘favourite’ Gayah ialah mi wantan kicap yang seenak rasa di saji dengan sup atau kari ‘fish ball’. Selalunya Gayah akan ‘order’ mi wantan kicap dengan kedua-dua sup dan kari. Gayah tak gelojoh ye, tetapi sangat menetapi cita rasa Gayah. Sedap dan harga yang amat berpatutan. Lagipun bukan selalu dapat makan kat sana!
Satu lagi menu yang Gayah suka, roti goyang dan Gayah ‘order’ sekali kopi O panas kurang manis. Bayangkan menikmatinya sambil dipayungi dedaun getah dan angin berpuput lembut.
Terbaru Gayah ke warung itu, mereka ada menu baru iaitu popis coklat cheese dan popis coklat cheese aiskrim. Nak tau apa popis itu, ia adalah gulungan pisang dalam kulit popia. Digoreng rangup dan disarikan pula dengan coklat cair, taburan coklat dan cheese di atasnya. Kalau nak lebih ‘terangkat’, order popis aiskrim.
Minuman di warung itu juga ada macam-macam, memang rambang mata. Ada smoothies mangga dan strawberi. Kalau tak silap Gayah, harganya RM3 segelas besar tetapi rasanya ‘lima bintang’. Puas hatilah!
Warung itu dibuka Sabtu hingga Rabu, jam 7 pagi hingga 5 petang. Khamis dan Jumaat tutup.
Dek teruja, Gayah terlupa nak ‘snap gambar’ warung tu untuk tatapan ‘followers’ Gayah Is Typing. Lain kali lah ye, Gayah akan balik kampung lagi.
You may also like
-
Brik Raikan Ulang Tahun Pertama – Perkenal 21 Beg Baru Pelbagai Warna
-
Precious Of Malaysia Ke Kota Paris – Istimewa Kehadiran Sultanah Nur Zahirah Di Malam Gala
-
Precious Of Malaysia Iktiraf Pereka Muda – Cabar Empat IPT Bersaing Dengan Pereka Sebenar
-
Terjemahan Patriotik Fazura – Lancar 12 Rekaan Tudung Khas Sempena Merdeka
-
Labur RM600,000 Lahirkan Liquffe – Nikmati Kopi Tanpa Bancuh