GIT MEDIA: Syarikat perunding kewangan, LM Tree Corporate Sdn Bhd, meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menganjurkan majlis berbuka puasa bersama 56 anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati dalam suasana penuh kehangatan dan kebersamaan.
Eksekutif Pengarah LM Tree Corporate Sdn Bhd, Muhammad Sufian Aziz, berkata program itu bertujuan memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim agar mereka turut merasai kemeriahan Ramadan dan persiapan menjelang Aidilfitri.
“Alhamdulillah, program hari ini adalah salah satu inisiatif CSR kami. Selain beriftar bersama, kita juga mahu mewujudkan suasana kekeluargaan dan mengeratkan ukhuwah bersama anak-anak yatim,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Sufian berkata, program berkenaan merupakan aktiviti CSR yang turut mendapat kerjasama Jakel dan pasar raya Giant, selain mendapat sokongan beberapa peniaga kecil dan sederhana (PKS) serta individu yang menyumbang pelbagai barangan keperluan.
“Menjelang Hari Raya, antara perkara yang sering menjadi perhatian ialah pakaian baharu dan barangan dapur. Melalui kerjasama ini, Jakel membantu menyediakan pilihan pakaian raya untuk anak-anak yatim, manakala Giant serta beberapa penyumbang lain turut menyumbangkan barangan dapur dan keperluan harian,” katanya.

Tambah beliau, meskipun LM Tree Corporate syarikat perunding kewangan yang memberi khidmat nasihat kepada pelanggan dalam mengurus kewangan dengan lebih teratur sejak 2016, pihaknya sentiasa berusaha melaksanakan program CSR setiap tahun bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Kami membantu pelanggan dari segi penyusunan semula kewangan serta penggabungan hutang supaya kedudukan kewangan mereka lebih stabil dan masa depan kewangan menjadi lebih cerah,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia turut menasihatkan orang ramai supaya berbelanja secara berhemah menjelang sambutan Aidilfitri agar tidak terbeban dengan komitmen kewangan selepas musim perayaan.
“Kita semua mahu menyambut raya dengan meriah, tetapi biarlah berpada-pada. Jangan sampai selepas raya kita terpaksa menanggung beban kewangan yang akhirnya menyusahkan diri sendiri,” katanya.
Menurutnya lagi, selain program Ramadan, LM Tree Corporate turut merancang pelbagai aktiviti CSR lain pada masa akan datang termasuk program bersama sekolah serta kelab sukan sebagai usaha berterusan menyumbang kepada masyarakat. – GIT MEDIA
