PETRA Lebaran 2026 hadir sebagai sebuah penghormatan terhadap warisan Nusantara yang ditafsir semula melalui perspektif kontemporari, dengan pendekatan berani namun bersahaja.
Tahun ini, PETRA menyelusuri kekayaan budaya Nusantara sebagai sumber inspirasi utama. Siluet kebaya tampil sebagai teras koleksi, diperkaya dengan ritma cetakan ikat dan sentuhan motif flora yang romantis.
Menariknya acara pelancaran koleksi Lebaran tahun ini, PETRA menyatukan dua dunia yang diraikan, fesyen dan hospitaliti mewah menerusi kolaborasi eksklusif bersama Hilton Petaling Jaya dengan pengenalan Lobby Event Space (LES), sebuah ruang baharu yang direka untuk memenuhi keperluan acara moden dengan sentuhan sofistikasi.
Berakar daripada siluet klasik Baju Kurung, koleksi ini ‘digahkan’ melalui potongan moden yang kemas, pemilihan fabrik mewah yang terhampar indah serta permainan cetakan yang dikurasi dengan ketelitian. Setiap helaian mengekalkan keseimbangan identiti PETRA — ekspresif tanpa berlebihan, tradisional dalam suntikan malar segar dan relevan untuk gaya hidup semasa.

Maka, terhasillah sebuah seleksi yang terasa akrab walau diperbaharui demi meraikan nilai kewanitaan, kelembutan dan identiti serantau yang diterjemahkan dalam estetika moden yang halus.
Sebuah rekaan yang menyantuni kepelbagaian saiz dan ragam personaliti wanita moden, koleksi ini menampilkan 28 rekaan eksklusif, merangkumi koleksi wanita, PETRA Petite untuk kanak-kanak serta Baju Melayu Teluk Belanga, menjadikannya sebuah seleksi lengkap dan sempurna untuk seisi keluarga.
PETRA Lebaran 2026 ditawarkan pada harga bermula RM299 hingga RM795. Boleh didapati secara dalam talian di www.petrartw.com, di PETRA Store, Seksyen 7 Shah Alam dan di Isetan KLCC. – GIT MEDIA
